Thursday, November 24, 2016

Macaroni Buah Hati


Entri #4
Teks : Zainab Norazman
Foto : Google

Bismillah.

Bukan cerita Nasi Minyak Kuah Cinta. Tapi ia kisah Macaroni Buah Hati. Macaroni Buah Hati, kakak Dania.

Macaroni Buah Hati - gambar ihsan googlee. Lupa mahu mengambil gambar.

Sesi persekolahan sudah sampai ke penghujung. Lagi dua hari bersekolah. Nampaknya kakak semakin bersemangat ke sekolah. Semangat 'bermain' dengan rakan sekelas. Katanya, nanti cuti lama pasti rindu.

Tahun 1 Ibnu Sina, Pusat Pendidikan Islam An-Nur. Penghujung sesi persekolahan begini, semua urusan sekolah yang melibatkan anak-anak sudah selesai. Peperiksaan sudah. Majlis Ihtifal Sudah. Pulangkan buku teks, juga sudah. Anak-anak sebenarnya hanya ke sekolah untuk mengisi masa mengikut takwin sekolah. Sebenarnya, boleh juga mula cuti sendiri. Tapi nampaknya, anak-anak 1 Ibnu Sina termasuk kakak, semakin ligat dan semangat mahu 'berukhuwah' dengan kawan-kawan. 

Demi mengisi masa anak-anak di sekolah, dan merai anak-anak, guru kelas dan ibu bapa berpakat untuk membuat sedikit jamuan akhir tahun. Buat secara 'potluck'. Berbahagi itu lebih baik. Sama-sama mempermudahkan kerja ibu bapa yang lain.

Kakak membuat permintaan ayam goreng ayah kegemaran kakak. Tapi memandangkan ayah dan ibu tidak dapat mengambil cuti rehat untuk membuat persiapan ayam goreng, saya mencadangkan macaroni buah. Juga kegemaran kakak. Alhamdulillah, kakak setuju.

Dengan riangnya, pagi ini kakak membawa satu bekas besar, Macaroni Buah Hati. Kakak, si buah hati ibu.

Di sini, saya cuba kongsikan resepi Macaroni Buah Hati yang tidak seberapa. 

Bahan-bahan :
 - Macaroni. Saya gunakan macaroni Kimball dan juga Spiral Kimball. Gabungkan dengan spiral untuk hasil yang cantik.


 - Mayonis Buah
 - Buah epal merah dan epal hijau
 - Kismis. Saya suka gunakan kismis hitam. Kismis doa. Atau bolehlah tiup-tiup sikit doa semasa menggaul.
 - Nata de coco
 - Susu segar atau krimer sejat.
 - Sedikit garam.
 - Sedikit serbuk lada hitam untuk membangkitkan rasa.

Cara-caranya :
 - Rebus macaroni dalam air mendidih. Masak macaroni sehingga empuk. Bila sudah masak, toskan.
 - Potong dadu si buah epal. Sekiranya mahu warna merah hijau terserlah, biarlah saja tanpa mengopek kulit.
 - Selepas itu, masukkan semua bahan ke dalam satu bekas besar. Gaulkan semua. Kismis. Nata de coco. Susu cair atau susu segar. Mayonis buah. Sedikit lada hitam. Sedikit garam. Gaul sebati.

Alhandulillah. Kakak tersenyum. Semoga kawan-kawan sekelas kakak suka dan gembira menikmati Macaroni Buah Hati, kakak.

Zainab Norazman, boleh panggil kaknab juga.



Tuesday, November 22, 2016

ANAK-ANAK IRAMA TERINDAH

Entri #3
Teks : Zainab Norazman

Tiga beradik sedang 'melepak' mengelilingi sang ibu. Seorang cekik leher. Seorang peluk kaki. Si kecil yang belum faham banyak mengikut sama tarik tangan. Seorang tergelak. Seorang menjerit. Seorang pula merajuk. Masing-masing cuba merai perhatian ibu.

Beberapa minit kemudian terdengar suasana seolah berubah. Gelak ketawa berubah pekikan. Mula kedengaran suara melalak menangis. Berebut mainan. Berebut mahu itu mahu ini.

Allahu. Mereka irama terindah kini. Biarlah bising. Kerana dengan tenang saya masih mampu  teruskan menghabiskan bacaan buku.

Rayyan beraksi.


Zainab Norazman
Anak tidak selamanya kecil.

Monday, November 21, 2016

IMPIAN TERLAKSANA

Entri #2

Teks : Zainab Norazman
Gambar : ABDR

Bismillah

Saya sedang ghairah. Aliran oksitosin untuk belajar menulis dalam blog sedang meluap-luap tidak dapat saya bendung. Sedang cuba untuk mengawal kegelojohan.

Sebenarnya ini azam saya sekian lama. Sudah lama menyimpan harapan untuk menyertai Akademi Bekerja Di Rumah. Menyertai tim ABDR adalah impian saya sejak tahun lagi. Selari dengan impian mahu membina kerjaya di rumah yang tidak mungkin akan padam.

Salam perkenalan sekali lagi bagi yang baru mula mengenali penulis blog ini. Doakan saya agar 'cita-cita' menjadi Work At Home Ibu dan surihati anak juga termaqbul, inshaAllah.



Zainab Norazman
Belajar menulis dari hati.

Sunday, November 20, 2016

SALAM PERTEMUAN KEMBALI - Pengenalan Diri

Entri #1
Teks : Zainab Norazman

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Alhamdulillah. Rasa syukur dipanjatkan ke hadrat Allah swt. Hanya dengan izin-Nya sesuatu itu berlaku ke atas hamba-Nya. Sama seperti blog ini. 

Salam pertemuan kembali. Ya blog ini inshaAllah saya azam akan kembali bernyawa. Dahulu memulakan blog ini sewaktu zaman belum cukup ilmu. Entah apa-apa entri dahulu (hehhe). 

Alhamdulillah, kini bertemu dengan Akademi Bekerja Di Rumah. Dengan satu azam dan misi untuk menulis yang lebih bermanfaat.

MashaAllah. TabarakAllah. Muqaddimah meleret pula.

Baiklah. Saya Zainab Binti Norazman. Anak kedua daripada empat orang adik-beradik, dan puteri tunggal dalam adik-beradik. Sabah Negeri Di Bawah Bayu - Kota Kinbalu, tempat saya dilahirkan dan membesar. Tempat kenal tanah dan lumpur. Menangkap belalang. Panjat bukit. Cari biji getah. Saya dilahirkan pada 28 Julai tahun 1985. Mak kata, hari ahad bertepatan azan subuh sedang berkumandang.

Mendapat pendidikan awal di SK Gudon Menggatal bermula darjah 1 hingga darjah 6 (1992 - 1997). Meneruskan persekolahan peringkat menengah di SMK Menggatal Kota Kinabalu sehingga Tingkatan 6 Atas (1998 - 2004). Saat rakan-rakan berkejar memasuki ke universiti, saya pendamkan hasrat dihati lantaran ayah baru meninggal dunia sebelum saya menduduki STPM, tahun 2004.

Perancangan Allah swt lebih cantik, Saya diterima bekerja dengan menggunakan sijil SPM. Bekerja dalam sektor perbankan sebagai kerani bank masa itu mampu memberi nafas lega. Alhamdulillah, boleh membantu abang yang sedang menyambung pelajaran ke peringkat ijazah dan adik menyambung pelajaran ke peringkat diploma. Selang 8 bulan bekerja sebagai kerani, saya mendapat panggilan temuduga lagi. Juga sebagai kerani. Tapi kali ini dalam sektor kerajaan, Mak tersenyum bahagia. Apalagi yang orang tua idamkan, dan menjadi kebanggaan jika anak berjaya memasuki sektor kerajaan. Sekali lagi kesyukuran kerana selepas tempoh pengesahan jawatan, saya boleh meneruskan cita-cita untuk berjuang mendapat segulung ijazah. Awal tahun 2007 sehingga 2011, saya menyambung pelajaran dalam bidang Sarjana Muda Ekonomi Sumber Manusia secara separuh masa di Universiti Malaysia Sabah. Pengajian selama 4 tahun mencipta pelbagai masam manis masin kehidupan.

Ini kerana, penghujung tahun 2007, Allah kurniakan rezeki saya untuk menamatkan zaman anak dara di usia hujung 22 tahun. Melakar kehidupan seorang kerani, pelajar dan isteri,  membahagi masa kepada 3 watak. Tidak lama selepas itu pula, saya disahkan positif hamil anak pertama. Bertambah tugas dan amanah kurniaan Allah swt. Pendeknya, dalam tempoh pengajian 4 tahun, rupanya Allah hadiahkan saya suatu memori indah. Belajar dalam masa yang sama berbahagi masa dan kasih kepada suami dan anak-anak. Empat tahun pengajian, saya mendapat sepasang cahayamata. Ezz Ameera Dania lahir 12 Januari 2009. Ezz Ammar Rayyan lahir pada 23 November 2010. Ezzatul Fatehah pula lahir pada 17 Oktober 2013. Saya tamat pengajian pada November 2011. 

KEBERKATAN REZEKI terletak pada rezeki anak. Siapa sangka. Kelahiran anak, membawa 1000 rezeki daripada Allah swt. Kelahiran seorang anak membawa keberkatan dalam rumahtangga. Pernah tidak kita imbas kembali. Dalam penghijrahan sebuah kehidupan kita secara peribadi. Dulu semasa muda remaja, kita ni huha huha. Selepas berkahwin dan memiliki anak, hidup kita berubah 360 darjah. Saya pernah terdengar dalam satu kuliah, ustaz kata "itulah keberkatan rezeki yang di bawa oleh rezeki anak". Ibu ayah berubah menjadi lebih dekat kepada Allah atas keberkatan seorang anak. Rezeki menjadi lebih murah atas keberkatan seorang anak. Perniagaan bertambah maju atas keberkatan seorang anak.

Secara peribadi, saya mula mencuba-cuba berniaga sejak kelahiran anak pertama. Bermula berniaga online pada awal pengenalan facebook. Menjual pakaian kanak-kanak. Beralih berniaga produk MLM. Mencuba pula membuka premis perniagaan barangan penyusuan dan produk bayi. Mencuba produk pendidikan untuk kanak-kanak. Semua berkaitan dengan kanak-kanak. Semua berkaitan dengan anak.

Ya, saya suka berniaga tentang apa yang saya minat. Berniaga dengan perkara yang saya 'passion'. Agar apa yang kita niagakan sentiasa dekaaaat di hati. Betul bukan?

Dan hari ini. Atas sebab cinta. Asbab suka. Dan minat. Saya mula berjinak-jinak semula dengan bidang jahitan. Saya guna perkataan semula, sebabnya dulu zaman sekolah rendah dan sekolah menengah, cuti sekolah saya, saya suka isi dengan membantu makcik jiran sebelah di kedai jahit. Tolong jahit tepi. Tolong sembat. Tolong jahit tulang belut. Tolong gosok baju yang sudah siap, sebelum dihantar kepada pelanggan. Saya tolong dapat upah hihi. Mungkin minat menjahit itu bermula dari situ. 

Alhamdulillah 'ala kulli hal. Dalam blog ini nanti, saya berhajat untuk berkogsi kepada sahabat yang membaca dan mengikuti blog ini dengan info tentang jahitan, bagaimana mahu melembutkan tangan keras pegang mesin, bagaimana mahu 'bermain' dengan mesin jahit dengan riang. Walaupun saya masih baharu dalam bidang ini, inshaAllah kita boleh timba ilmu bersama. 

Oh ya, berbalik kepada cerita perjalanan pendidikan saya yang tidak seberapa dan kerjaya saya sebagai kerani cuti di sektor kerajaan. Sebenarnya jauh di sudut hati saya hari ini, hati naluri saya sebenarnya berhajat mahu membina kerjaya sendiri di rumah. Kerjaya sebagai seorang ibu yang menjahit di rumah. Sambil membayar masa bersama anak-anak. Oh, betapa sedapnya meluahkan perkataan ini. Sebab ini harapan. 

Harapan. Harapan ini inshaAllah akan diluahkan dalam blog ini, Jurnal Suri Bekerja Di Rumah - Jahitan dan Sulaman. Walau belum bergelar surirumah sepenuh masa, namun saya pasti 'cita-cita' ini akan dimakbulkan Allah swt. 

Zainab Norazman
Besar harapan ibu, nak.
  

Thursday, November 17, 2016

Jurnal Suri Bekerja Dari Rumah

Entri #10

Teks : Zainab Norazman
Foto : Zainab Norazman



Jam di bucu komputer pejabat menunjukkan waktu 4.30 petang. Sudah tamat waktu bekerja kak nab sebagai kerani. Begini kebiasaannya. Cukup sampai jam begini kak nab bekerja. Pada waktu pejabat, sedayanya kak nab siapkan amanah. Kerana selepas waktu pejabat, ada amanah lain yang perlu kak nab fokus.



Perlahan-lahan kak nab memandu viva biru yang nampaknya kurang daya untuk berkhidmat. Namun tetap menjalankan amanahnya.



Oh, tiba-tiba terkenang ceramah Ustaz Wadi Anuar yang kak nab tonton melalui youtube.com. Katanya, setiap makhluk bernyawa dan tidak bernyawa, semua ada amanah. Semua 'hidup'. Manusia, haiwan, pokok, sungai. Termasuk kerusi, meja, buku, pensil, dan kereta. Semua ada 'nyawa'. Dan sebagai makhluk yang berakal, kita manusia sewajarnya menuntuni mereka juga dengan makhluk yang punya hati dan perasaan. Nanti akan di tuntut di akhirat.



Anak-anak sentiasa menanti dengan sarat rindu di hati.



Begitulah juga ibu dan ayah. Pulang ke rumah setelah penat bekerja, juga membawa rindu yang sarat di hati. Rindu akan anak-anak di rumah.




Ibu menyelami buku ini. Reward anak tonton upin ipin .


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...