Thursday, July 27, 2017

Jenis Jahitan Asas

Teks : Zainab Norazman
Foto : Google

Entri #99

Bismillah. Saya memulakan sesi ulangkaji dalam Kelas Asas Blog Penulisan di Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR) dengan azam berkongsi tentang dunia jahitan dan sulaman. Semoga Allah mengizinkan juga untuk saya berkongsi tentang dunia buku dan dunia penulisan blog di dalam ruangan ini. Ini adalah nafas baru yang mahu dikongsikan. Semoga ia memberi manfaat buat semua pembaca.

Sejenis model mesin jahit kaki. Banyak nilai sentimental yang ada pada mesin jahit ini.


Sebagai permulaan, kita bermula dengan cerita asas jahitan.

Saya teringat pula sewaktu pertama kali terjebak dalam dunia jahitan ini. Waktu itu, saya sedang bercuti sekolah. Usia baru menginjak ke umur 12 tahun. Masih anak hingusan yang suka menangkap belalang dan bermain di tepi perigi rumah masa itu. Namun seawal usia itu, saya sudah mula 'bekerja' membantu Makcik Mas di kedai jahitnya. Makcik Mas ialah adik ipar mak yang tinggal bersebelahan rumah saya masa itu.

Pada awalnya, Makcik Mas hanya meminta saya membantunya untuk seterika baju kurung yang telah siap dijahit dan menggantungnya cantik-cantik sebelum diambil oleh pelanggan. Saban hari, Makcik Mas memberi kepercayaan kepada saya untuk membantunya menggunakan mesin jahit tepi untuk menjahit tepi kain baju kurung yang telah dipotong mengikut ukuran pelanggan.

Maka, bermula daripada situ, saya terjebak dalam dunia jahit menjahit ini. Pada asalnya untuk membantu Makcik Mas. Dalam masa yang sama, saya juga mendapat habuan sedikit gaji sebagai tambahan belanja cuti sekolah masa itu. Hehehe. Agak lumayan juga sehingga boleh membeli sepasang kasut sekolah baharu untuk memasuki ke sekolah menengah.

Panjang pula mukaddimah asas jahitan ini.

Baiklah, saya teruskan dengan lebih serius lagi.

Sebagai asas, kita perlu mengetahui tentang jenis-jenis jahitan.

1. Jahitan jelujur.


Jahitan jelujur
  
Jahitan jelujur kasar ini menyambungkan dua atu lebih kepingan kain. Ia hanyalah sebagai jahitan sementara sebelum membuat jahitan kekal. Jahitan jelujur digunakan untuk menetapkan kelim di kedudukan dan ia mudah untuk dicabut.

Cara menjahit jahitan jelujur ialah jahit dari kiri ke kanan. Mulakan dengan jahitan kia. Masukkan jarum pada A dan keluarkan pada B dengan jarak 1 cm dari A.

Terus menjahit sehingga sampai ke hujung kain. Matikan jahitan dengan jahitan kia.

2. Jahitan kia.

Jahitan kia pula digunakan sebagai pengganti jahitan mesin. Selain daripada itu, ia juga sebagai memula dan mematiakn jahitan tangan. Jahitan jenis ini kukuh, rapat dan kelihatan seperti jahitan mesin di sebelah luar kain.

Jahitan kia


Jahit dari kanan ke kiri. Cucuk jarum pada A dan keluarkan pada B dengan jarak 2 mm.

Cucuk jarum sekali lagi pada A dan keluarkan pada B.

Jahit sehingga ke hujung fabrik. Matikan jahitan dengan jahitan kia sebanyak dua kali.


3. Jahitan lilit ubi.

Jahitan lilit ubi.


Ini pula digunakan untuk menyambung dua tepi fabrik berlipat atau melekatkan tempat dan tampal hias pada artikel atau pakaian.

Jahit dari kanan ke kiri. Mulakan dengan meninggalkan 1 cm benang di antara dua lipatan. Cucuk jarum secara menegak dan menghala ke arah penjahit pada fabrik lapisan bawah A dan keluarkan pada fabrik lapisan atas B.

Akhiri jahitan dengan menjahit ke kanan semula di atas 3 atau 4 mata jahitan lilit ubi.

4. Jahitan sembat.

Jahitan sembat digunkaan untuk menjahit kelepet. Jahitannya kelihatan kecil, halus dan rapat. Ini menyebabkan mata jahitan boleh dilihat di sebelah luar fabrik.

Jahitan sembat.


Jahit dari kanan ke kiri. Mulakan dengan jahitan kia di bawah lipatan kelepet. Masukkan jarum pada A dan keluarkan pada B di bahagian lipatan. Jarum hendaklah condong sebanyak 30 darjah. Terus menjahit sehingga ke hujung fabrik dan matikan jahitan dengan jahitan kia.

5. Jahitan sembat susup.

Jahitan sembat susup.


Jahitan ini nampak kemas, halus dan hamper tidak kelihatan di sebelah luar fabrik. Ia digunakan untuk menjahit kelepet dan lapik.

Jahit dari kanan ke kiri. Mulakan dengan jahitan kia di bawah lipatan kelepet. Ambil dua atau tiga urat benang fabrik lapisan daripada kelepet.

Susu jarum ke dalam lipatan kelepet sepanjang 3 mm - 6 mm.

Teruskan menjahit dan matikan jahitan dengan jahitan kia.

6. Jahitan insang pari.

Jahitan ini digunakan untuk mengemas tepi fabrik dan sebagai jahitan perhiasan untuk menjahit motif.

Jahitan insang jari.


Jahit dari kiri ke kanan. Mulakan dengan beberapa jelujur halus menegak pada A. Cucuk jarum menegak pada B dan halakan jarum ke arah penjahit. Letakkan benang di bawah hujung jarum dan tarik benang menghala ke arah penjahit.

Matikan jahitan dengan beberapa jelujur halus menegak di sebelah kanan mata jahitan insang pari yang akhir.
.
.
.
Nampaknya setakat ini dahulu perkongsian saya tentang asas jahitan di dalam dunia menjahit ini. Sampai kita bertemu lagi dalam tulisan seterusnya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...