Friday, August 11, 2017

Apa Kemahiran Yang Perlu Ada Untuk Belajar Asas Sulaman?

Teks & foto : Zainab Norazman
Entri #106





Bila ditanya, bagaimana boleh terjun ke dalam dunia sulaman? Boleh saya katakan ia adalah aturan daripada Allah swt. Dalam entri saya tentang pengalaman diri di sini, saya ada menceritakan kisah bagaimana saya mengisi masa cuti sekolah saya dengan membantu makcik Siah di kedai jahitnya.


Ya, itu tentang jahitan dan menjahit.




Dalam bidang sulaman ini, saya terjebak tanpa saya sedari. Pada awalnya, saya menghadiri Kelas Menjahit Langsir dan Telekung bersama Al Mujahid Trading di Shah Alam. Kebetulan masa itu, Guru Jahit saya iaitu Ustazah Sahida Said ada menyediakan penjualan mesin jahit Brother.


Memandangkan mesin jahit yang termurah di situ ialah Mesin Jahit Sulam model NV950 Brother, maka itulah yang menjadi pilihan pertama dan terakhir.




Bermulalah kisah saya mengangkut si NV950 menaiki penerbangan Malaysian Airlines untuk pulang ke Kota Kinabalu. Mujur bagasi 30kg sudah termasuk dalam pakej.




Dengan penuh keterujaan, saya mula membuka kotak NV950. Pertama kali bertentang mata tatkala saya belum kenal apa pun tentang dunia sulaman. Terngiang-ngiang pula kata-kata ustazah, "istighfar banyak-banyak. Solat sunat istikharah 2 rakaat. Mintalah pada Allah apa yang Allah mahu beri dengan NV950 ini".




Semua dengan izin Allah. Saya mulakan dengan membelek buku panduan yang diberikan. Tanpa berguru dengan manusia, saya berguru dengan Cikgu Youtube. Mencari video panduan penggunaan mesin ini. Melihat banyak tutorial bagaimana mahu menyulam.




Berkali-kali hadam video tutorial yang kebanyakannya daripada penyulam tegar di Negara Barat. Alhamdulillah, tanpa saya sedari, saya tidak tahu dari mana puncanya saya mula mahir dengan selok belok sulaman.




Bermula daripada situlah, saya mula mencari seberapa banyak maklumat lagi tentang selok-belok di dalam dunia sulaman ini.




Oh ya, untuk lebih jelas. Secara umumnya, saya lebih cenderung kepada seni sulaman menggunakan mesin jahit. Ya, saya orang baru masuk dalam bidang ini, kebanyakan seni sulaman yang lain agak kurang saya dalami. Walaupun zaman sekolah juga pernah belajar seni mengait, seni sulaman benang dan juga seni sulaman silang pangkah.




Kesimpulannya, untuk sahabat yang baru mahu belajar dan terjun ke dunia sulaman ini, yang paling penting ialah minat yang mendalam dalam bidang sulaman. Dengan minat, ia akan mendorong kita belajar dan terus mendalami bidang ini.




Selain daripada itu, perlu juga bagi seorang penyulam itu untuk mengetahui asas menggabungkan kombinasi warna dalam mengadun sesuatu seni motif yang akan dihasilkan. Tidak kira dalam seni sulaman benang mahupun dalam proses pemilihan warna benang sulam untuk menghasilkan sulaman mesin. Dengan menggabungkan kombinasi warna yang betul, ia akan membuatkan sulaman itu sedap pada pandangan mata setiap mata yang melihat.




Sedikit perkongsian hasil seni sulaman mesin saya yang pertama. Masa ini saya baru mencuba-cuba untuk berkarya dengan mesin NV950 ini. Agak comot. Namun ia manis untuk dijadikan kenangan dalam proses pembelajaran ini.





Pertama kali sulam keychain

Inilah hasil sulam keychain itu.

Sulam nama untuk tuala anak-anak. Yang ini saya menggunakan jenis tulisan yang ada di dalam mesin.





Senyum saja saya melihat semua ini.




Doakan juga saya untuk dapat menghasilkan hasil sulaman yang penuh berseni.


Zainab Norazman
Karya Saya Di Dalam Dunia Sulaman





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...