Sunday, August 13, 2017

Apa Kemahiran Yang Perlu Ada Untuk Belajar Menjahit?

Teks : Zainab Norazman
Entri #110

Bismillah.

Pernah saya ceritakan bagaimana saya mula terjebak dalam aktiviti menjahit ini dalam entri Pengenalan Diri dan juga Asas Jahitan. Bermula hanya membantu makcik saudara sewaktu masih di sekolah rendah. Dari situ saya jatuh minat dan jatuh cinta dalam dunia jahitan. Namun ketika itu, saya belum lagi bercita-cita mahu belajar tentang jahitan ini lebih mendalam. Tapi ada saja jodoh yang Allah takdirkan saya dalam bidang ini.

Dulu, Makcik Mas pernah ajar cara 'brutal' menjahit baju kurung. Makcik Mas meminta saya mencari baju kurung lama yang tidak dipakai. Selepas itu, diminta pula tetas semua jahitan dan cerai-ceraikan menjadi kepingan-kepingan kain yang belum dijahit. Selesai itu, makcik meminta saya jahitkan semula ikut bekas jahitan yang lama menggunakan kaedah jahitan tangan. Berpeluh juga menyiapkan jahitan baju kurung itu.

Itu cerita tentang pengalaman. Sesungguhnya, tarbiyah atau pengajaran terbaik itu adalah pengalaman. Namun dalam konteks kemahiran menjahit ini, pengalaman itu membentuk satu pencetus dan motivasi untuk teruskan langkah dalam bidang ini. Sebagai batu loncatan yang bernilai.

Untuk mula belajar menjahit, selain daripada minat, seseorang yang mahu terjun ke dalam bidang jahitan ini perlu juga ilmu asas pengetahuan tentang penggunaan mesin jahit,kenal jenis kain dan juga alatan asas dalam jahitan. Semua itu akan diperolehi apabila kita mula mencari guru jahitan. Mula belajar. Dan mulakan praktik apa yang dipelajari.

Namun, ada juga tukang jahit yang mula berguru dan sudahpun berjaya menyiapkan beberapa baju sebagai hasil jahitan. Oleh kerana minat itu belum masuk ke dalam jiwa, maka hasil entah ke mana, dan mesin jahit tersimpan begitu sahaja sebagai perhiasan rumah.

Menjahit ini juga sebenarnya tergolong dalam hobi. Ada orang hobi membaca. Ada juga hobi memancing. Hobi pastinya dilakukan dengan cinta dan minat. Serta kesungguhan.

Begitulah bidang jahitan ini. Ia seiring dengan minat. Pengalaman yang terkumpul hari demi hari itulah yang akan menjadikan seseorang tukang jahit semakin mahir dalam selok belok jahitan. Itulah ilmu yang paling berharga.

Zainab Norazman
Nukilan Tukang Jahit Baru




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...