Saturday, August 10, 2019

BICARA HATI SEMPENA AIDIL ADHA DAN IBADAH QURBAN

Entri #152





Allahumma Ya Rahman ya Rahim, rahmati dan restuilah kehidupan kami umat di akhir zaman. Kami bersyukur kepadaMu masih memilih kami atas landasan Islam, Iman dan Ihsan dan mengizinkan kami menunaikan dan menghayati ibadah quran sempena Hari Raya Aidil Adha ini. Ya Allah Ya Zohir Ya Haq, zahirkanlah kepada kami rahsiaMu disebalik ibadah Qurban ini.

Allahumma Ya Mumit, yang Maha Mematikan, sebagaimana Engkau menyembelih dan mematikan binatang qurban ini buat kami dan seluruh umat di akhir zaman ini sebagai ibadah qurban kami, sembelihkan, matikan dan putuskan juga kecintaan dan rasa ketamakkan kami kepada dunia yang hina yang sentiasa menghalang kami dan membuat kami lalai untuk mendekatkan diri kepadaMu Ya Rabb. 

Allahumma Ya Qoreeb, tariklah roh kami dan roh seluruh umat di akhir zaman ini dekat denganMu utk kami bersunyi sunyian denganMu di pagi² hari dan berkorban untuk agamaMu di siang hari. Allahumma Ya Baathin, hilangkanlah wajah² makhluq pada cermin hati kami dan dan Ya Zohir Ya Haq, zahirkanlah wajahMu Allah, iaitu Nama, Sifat dan perbuatanMu pada cermin hati kami agar kami tidak mempersekutukanMu dengan sesuatu dan dapatlah kami sentiasa memuji²Mu Ya Hameed yang Maha Terpuji, membesar²kanMu Ya Kabir Ya Mutakabbir, Rabb yang Maha Besar dan memiliki segala kebesaran di alam buana ini, meninggi²kanMu Ya ‘Aliy Ya Muta’ali yang selayakkan ditinggi²kan dan mengagongkanMu Ya Adzim yang Maha Agong sebagai Rabb sekalian alam Ya Malik Ya Malikul Mulk.

Allahumma Ya Zohir Ya Haq, zahirkan juga pengorbanan NabiMu Nabi Ibrahim a. s, Nabi Ismail a. s dan Siti Hajar r. a. dalam perjuangan agamaMu agar kami dapat mengikut contoh tauladan mereka dalam kehidupan di dunia ini.

Engkau menzahirkan bahawa Nabi Ibrahim a.s. itu sangat kuat kecintaan kepadaMu Ya Waduud sehingga ketikamana Engkau mengarahkan baginda meninggalkan keluarganya di padang pasir yang kering kontang dan tiada berpenghuni, baginda mentaati perintahMu tanpa soal dan tanpa bantah, kerana yakinnya baginda kepada kekuasaanMu dalam menolong hamba²Mu yang berjuang di jalan agamaMu.

Maka, dengan kekuatan cinta dan penyerahan kepadaMu Ya Waduud, Ya Waaliy Ya Wakil Ya Baari’, pemilik cinta dan pengurus, pentadbir dan pengatur segala urusan hamba²Mu di alam ini, maka Engkau Ya Rahman Ya Rahim Ya Rouf Ya Kareem menghadiahkan air
zam-zam yang mengalir sehingga ke saat ini tidak pernah berhenti dengan begitu banyak sekali diatas pengorbanan, kepasrahan dan pergantungan sempurna hamba²Mu ini kepadaMu.

Maka, sebagaimana Engkau Ya Allah Ya Waduud, Ya Waaliy Ya Wakil Ya Baari’ mengurniakan kekuatan cintaMu kepada jiwa Nabi Ibrahim a.s. dan kekuatan penyerahan dan pergantungan kepadaMu, maka, kurniakan juga kami dan seluruh umat di akhir zaman ini rasa cinta dan rasa penyerahan, kepasrahan dan kebergantungan kepadaMu yang sempurna kepada jiwa kami sehingga kami tidak ragu² lagi dengan kekuasaanMu Ya Rabbi.

Allahumma Ya Zohir Ya Haq, Engkau juga menzahirkan kekuatan cinta dan pengorbanan Nabi Ismail a.s. terhadapMu dimana ketika baginda diarahkan olehMu untuk disembelih, baginda tetap tunduk dan taat kepadaMu dengan daya ketundukan dan ketaatan dariMu jua Ya Allah Ya Qohhar Ya Sami’ Ya Baaqi Ya Quddus. Oleh itu Ya Allah Ya Qohhar Ya Sami’ Ya Baaqi Ya Quddus, sebagaimana Engkau mengurniakan kepada NabiMu Nabi Ismail a.s. kekuatan ketundukan dan ketaatan sempurna kepadaMu, kurniakan daya ketundukan dan ketaatan itu juga buat kami hamba²Mu dan seluruh umat di akhir zaman ini yang telah Engkau amanahkan dengan tugas² khalifah akhir zaman agar kami dan seluruh umat di akhir zaman ini dapat bersegera melaksanakan segala perintah²Mu dan menjauhi larangan²Mu dan mampu melaksanakan kerja dakwah dan amal makruf, nahi mungkar bagi memimpin ummah di atas jalanMu yang lurus Ya Allah Ya Haq.

Allahumma Ya Zohir Ya Haq, Engkau juga menzahirkan kekuatan cinta dan pengorbanan Siti Hajar r.a. terhadapMu dimana Engkau Ya Aziz ya Qowiy Ya Matin Ya Waduud Ya Sobur Ya Ahad Ya Wahid Ya Somad mengurniakan daya keperkasaan, kekuatan, keteguhan, kecintaan dan kesabaran serta kebergantungan kepadaMu dimana ketikamana dia menerima berita yang suaminya akan keluar berjihad di jalan agamaMu dan terpaksa meninggalkan beliau bersama anak yang kecil di padang pasir yang kering kontang dan tiada berpenghuni, beliau tetap tunduk dan taat kepada perintahMu Ya Allah. Maka, dengan zahirnya berikhtiar dan bathinnya terus menjerit memanggil²Mu Ya Allah Ya Rozzaq Ya Wahab Ya Kareem, akhirnya Engkau menunaikan rintihannya dengan mengurniakan air zam-zam buat mereka terus hidup di bumiMu sehingga bumi Mekah menjadi sangat subur dan Engkau datangkan ramai manusia untuk hidup disana dan Engkau menjadikan bumi Mekah itu bumi yang Engkau berkati dan bumi suci diatas kesucian ketauhidan dan keimanan yang sempurna para Nabi²Mu dan keluarga mereka. Oleh itu, Ya Aziz ya Qowiy Ya Matin Ya Waduud Ya Sobur Ya Ahad Ya Wahid Ya Somad, kurniakan juga kami dan seluruh umat akhir zaman ini daya keperkasaan, kekuatan, keteguhan, kecintaan dan kesabaran serta kebergantungan kepadaMu untuk kami meneruskan pengabdian dan tugas² khalifah di bumiMu ini.

Allahuma ya Mumit, kami semua akan mati, maka matikanlah kami dan seluruh umat akhir zaman ini dalam keadaan hati ini mencintaiMu Ya Waduud, dan jasad ini berkorban utk perjuangan agamaMu sehingga titisan darah kami yang terakhir dan Ya Allah Ya Mumit Ya Syahid, matikan kami sebagai syuhada’Mu di medan perjuangan.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...