Showing posts with label Aktiviti Anak-anak. Show all posts
Showing posts with label Aktiviti Anak-anak. Show all posts

Friday, July 14, 2017

Cerita Temtang Kakak

Teks : Zainab Norazman
Imej : Zainab Norazman

Entri #93

"Kakak, bangun kakak. Azam kakak kan mau sampai sekolah sebelum jam 6.30. Jom kakak. Mandi". Begitulah skrip aku setiap pagi. Tambah lagi dengan kata-kata memuji dan nasihat daripada pakar motivasi tidak bertauliah.

Lepas Kakak Dania siap mandi. Berlari lari kejutkan Rayyan. Sama  juga skripnya. Kejutkan. Usap-usap muka. Puji memuji.

Usai urusan anak, berlari lagi ke dapur. Siapkan susu segelas, minum berkongsi dua beradik itu.

Ok, siap?! Jom.

Begitulah rutin kesibukan di awal pagi.

Zainab Norazman
#CeritaKami
.
.


Rupanya. Punca kakak Dania 'excited' bersiap pagi tadi. Semangat ada aktiviti membuat binaan hari ini. Ini salah satu projek dalam matapelajaran Dunia Sains dan Teknologi.

Punca. Setiap hari, ibu perlu mencari apa punca yang akan menggembirakan hati keluarga. Cari juga punca yang akan menyebabkan hormon adrenalin melonjak. Dari situ, kita akan dapat bahagiakan hati sendiri dan juga hati semua orang.

Zainab Norazman
Hari Ini Jadi Pakar Bahagia Pula.
.
.
Dua status facebook ini saya jadikan cerita berantai tentang Kakak Dania. Menulis di facebook dan rangkumkan di blog.

Mahu belajar menulis? Whatsapp 0168495982

Sunday, April 23, 2017

Kampung Arnab di Ranau

Teks : Zainab Norazman
Foto : Koleksi Peribadi Zainab Norazman

Entri #69

Musim cuti agak panjang begini, ramai yang suka. Pasti akan merancang untuk bersiar-siar dan menggembirakan anak-anak.

Kali ini kaknab mahu perkenalkan satu tempat yang bila berada di sana, kalian akan rasa diri kalian juga secomel penghuninya. Sedangkan mak bapak yang tak berapa meningkat usia ini pun sukakan tempat ini.

Ini adalah Kampung Arnab. Ia terletak di Kampung Kibas, Ranau. Kaknab tidak mahir sangat mahu terangkan arah lokasinya. Kalian gunakan saja aplikasi Waze. Ikut saja arahan.

Semasa kaknab ke sini, jalan masuk agak berlubang-lubang juga. Baru-baru ini kaknab ada nampak dalam page rasmi mereka, jalan masuk sedang diturap. Selepas ini, kereta comel seperti viva viru kaknab pun boleh masuk juga.

Jika kalian mahu tidur malam bersama arnab, ada penginapan murah disediakan. Harga semurah RM80 semalam.

Selepas ini, bolehlah merancang menziarahi mereka di sini. Bermain dengan arnab-arnab. Hati pasti tercuit dengan keletah mereka.

Zainab Norazman
Kak Nab dan Arnab, Serasi Bersama.

















Saturday, April 22, 2017

Suri Rumah Di Rumah

Teks : Zainab Norazman

Entri #68

Guruh berbunyi menyambut subuh tadi. Dan pagi ini bumi terasa aman damai dan sejuk sekali.

Selepas subuh tadi gigih menyediakan sarapan. Bubur nasi untuk anakanda Rayyan yang sedang demam. Bihun goreng.

Bila anak-anak sudah bangun, sambung goreng donut gebu yang sangat comel hasil tangan Ain Soalati. Anak-anak seronok makan cicah susu tepung. Termasuk Rayyan. Naik selera menjamah 2 biji donut.
.
.
.
Hujan turun lagi. Kain sudah siap dibasuh. Tangguh jemur kain dulu. Mungkin akan berlari sebentar ke kedai dobi layan diri. Masukkan dalam dryer selama 25 minit, boleh duduk-duduk sambil membaca buku.

Zainab Norazman
Hari Ini Jadi Suri Rumah Di Rumah 😊
(Pekerjaan yang membahagiakan)

Wednesday, March 29, 2017

Meroket Laju

Teks : Zainab Norazman
Imej : Mary Jardin

Entri #54

 "Rayyan buka kasut, susun elok-elok di rak kasut. Meh sini beg sekolah rayyan, ibu tolong simpan dalam kelas."
.
.
Keluar dari kelas, ehh mana pula budak ni. Tengok-tengok sudah laju berlari ke surau.
.
.
Kaknab pun mahu berlari laju juga study pasal Mary Jardin ni. Semakin teruja rasa hati. Tiga perkara ini sangat-sangat membuatkan semakin teruja dalam Mary Jardin ni.
.
1. Cinta pertama, sebab ianya produk organik dan semulajadi.
2. Teruja melihat muslimah hebat yang gigih. Master Stokis yang hebat-hebat.
3. Sebab ia warna pepel. hikhikhik.



Sunday, March 26, 2017

Rehlah Geng Surau Riyadussolihin di Sungai Kg Kibunut, Penampang

Teks : Zainab Norazman
Imej : Zainab Norazman

Entri #51

Lokasi Rehlah : Kg Kibunut, Penampang

Dalam kelas Al Quran semalam, ustazah kata, saat kita melihat keindahan ciptaan Allah swt, baca doa ini.

رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذا بَاطِلاً سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

"Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka"
(QS. Ali Imran : 191)

Alhamdulillah ala kullu nikmat. Hari ini berkesempatan berkumpul bersama sahabat surau Riyadusslohin dalam rehlah di Kg Kibunut, Penampang.

Kami seronok berkumpul bersama. Silatulrahin bertambaj erat. Anak-anak yang paling seronok. Berkubang berjam-jam di dalam sungai. Naik biru tangan dan bibir. Tidak mengapalah nak, asalkan bahagia di hati kalian.

Dalam perjalanan balik, semua pengsan terlentoq lena.

Alhamdulillah.

Silalah layan gambar kenangan di bawah ini ^_^

Laluan masuk dan keluar ini sangat mengujakan. Jambatan sungai ini sengaja dibina begini. 
Berjam-jam mereka berkubang di dalam sungai


Dunia ini tempat kalian berukhuwah dan bekerja untuk agama. Kalianlah generasi yang akan bekerja untuk agama.
Wefie ayah dan Fatehah. Perkara wajib.

Kami bff - Iman dan Dania.


Thursday, March 23, 2017

Spoon dan Sudu

Teks : Zainab Norazman
Imej : Zainab Norazman

Entri #50



Ini cerita semalam. Sambil ibu sediakan makan malam, Fatehah bermain ebookku.

"Cat = meow meow. Cow = moo moo"

Tengok Fatehah selak lagi ke mukasurat lain. Kaknab duduk sambil bermain bersama Fatehah.

Ibu : Ini bowl.

Fatehah : Bol.

Ibu : Ini jug.

Fatehah : Jug.

Ibu : Ini spoon.

Fatehah : Bukanlah ibu. Ini suuuuduuu.

Ibu : Ini spoon la.

Fatehah : Sudu bah ibu.

Ibu sudah pun geli hati dengan Fatehah ni. Tambah lagi mengusik. Spoon. Sudu. Spoon. Sudu. Spoon la sayang. Sudu bah.






Wednesday, February 8, 2017

Kerja Sekolah Kakak Penuh Kenangan

Teks : Zainab Norazman
Foto : Zainab Norazman

Entri #42

Kerja sekolah kakak ataupun ibu?

Alkisah. Ustaz sains kata mahu bagi anak-anak faham proses tumbesaran kejadian seorang hamba Allah. Ibu godek semua album lama. Almaklum, anak pertama. Ada album baru lahir. Album sebulan. Umur dua bulan. Umur tiga bulan. Sampai umur dua tahun. Mudahlah ibu cari gambar lama.

Lepas tu, anak kedua lahir. Gambar baru lahir. Gambar enam bulan. Satu tahun. Dua tahun. Semua dalam satu album sahaja.

Anak ketiga lahir zaman gajet sudah canggih. Gambar semua dalam telefon pintar. Bila telefon hilang kepintaran, musnah segala gambar kenangan.

Tidak apalah, nak. Kenangan terindah bersama kalian tidak pernah hilang dalam memori agung ciptaan Allah swt. Otak manusia. Allah sudah cipta lebih canggih daripada memori telefon. Memori kamera.

Cuma, suatu saat. Memori ini pasti Allah akan ambil semula. Semua pinjaman Allah swt. Moga kita dan kalian tetap dalam pimpinan Allah swt.

Zainab Norazman.
Duhai anak, ibu sayu malam ini.

Semua tentang kakak.




Wednesday, February 1, 2017

Suri di Pejabat. Suri di Rumah. Suri Ummah.

Teks : Zainab Norazman
Foto : Zainab Norazman

Entri #38

Tepat jam 4.30 petang, alhamdulillah langsai segala tugasan di pejabat. Entahlah. Saat itu sangat menggembirakan hati ini. Terbayang-bayang wajah anak-anak menanti di surau sekolah untuk pulang ke rumah. Di rumah pula, terbayang wajah kecil Fatehah melonjak riang di sebalik gril pintu. Dia menanti penuh gembira.

Sesampai di dalam rumah, lazimnya seorang ibu, terus menyinsing lengan baju kurung dan terus ke dapur. Sebelum itu, arahan demia arahan ditaburkan kepada kakak dan rayyan. Rehat sekejap hilangkan peluh dan mandi. Juadah untuk makan malam disiapkan sepantas yang boleh. Anak-anak perlu makan sebelum waktu maghrib. Perlu siap-siap solat maghrib. Dan pergi kelas mengaji seawal jam 7 malam.

Begitulah rutin.
Suri di pejabat.
Suri di rumah.
Suri ummah.

Saturday, January 28, 2017

Jus Buah Nenas di Petang Hari

Teks : Zainab Norazman
Foto : Zainab Norazman

Entri #36

Paling tidak gemar adalah kopek kulit buah nenas. Kulitnya keras. Lepas tu renyah pula mahu tanggalkan mata nenas satu persatu.
Tapi sebab mahu buat ubat buang kahak untuk anak-anak. Kak nab gagahkan juga.

Sebiji buah nenas di kopek. Dikisar halus. Dan ditapis menggunakan kain kasa. Dan dimasukan ke dalam botol. Simpan untuk di buat 'ubat'.

Lebihan pula dibuat jus buah nenas untuk minum petang. Masukkan beberapa ketul ais. Dan beberapa titik pemanis stevia RCC. Dan kisar. Masuk dalam gelas. Cucuhkan penyedut minuman. Dan sedikit hirisan buah nenas selit di atas gelas. Pergh. Bergaya gitu.

Tapi sebenarnya, kak nab paling suka kopek buah tomato. Senang. Bahagia hati kak nab.

Thursday, January 12, 2017

Cerita Pulang Dari Sekolah

Teks : Zainab Norazman
Foto : Zainab Norazman

Entri #31

Sedang ibu memandu kenderaan. Rayyan bagi jadual kelas minta ibu tengok. Kejap lagi tunjuk surat pemeriksaan kesihatan, minta ibu baca. Selepas itu, Rayyan tunjuk kerja sekolah Bahasa Inggeris. Tangan kiri ibu sudah penuh dengan surat, kertas jadual dan buku Inggeris. Tangan kanan masih gagah pegang stering kereta.



Zainab Norazman - Pemandu Litar Jalan Lintas.

#ABDR #KedaiJahitIbuByEzzKids

Thursday, December 15, 2016

Pengisian Ringkas Cuti Sekolah Untuk Suri Yang Bekerja

Teks : Zainab Norazman
Foto : Koleksi peribadi

Entri #15

Sebagai suri yang bekerja, modul cuti sekolah dan aktiviti anak-anak kak nab buat ikut mana yang mampu. Kak nab bertolak ke tempat kerja seawal jam 6.30 dan tiba di rumah jam 5.30 petang. Masa kak nab singkat di rumah. Aktiviti anak-anak perlu dirancang dengan baik.

Sebelum bertolak ke tempat kerja, kak nab akan bagi tugasan kepada anak-anak. Mengemas sambil belajar. Kakak kemas bilik tidur. Rayyan tolong buang sampah. Fatehah tolong kemas mainan. Bila ibu balik petang, tiga-tiga sibuk melapor dan bercerita serta menuntut 'gaji'.

Adakala kak nab bagi kakak tugasan untuk mengulang rayyan belajar membaca buku 3, Bacalah Anakku. Bantu fatehah mengulang-ulang sebut lima kad imbas yang kak nab lekatkan di dinding. Sebelum lekatkan kad imbas fatehah tu, kak nab akan ajar fatehah sebut dengan betul terlebih dahulu. Kemudian lekatkan. Pada keesokkan paginya, kakak akan cuba ulang-ulang sebut bersama fatehah. 

Begitu secara ringkasnya.

Aktiviti yang utama kak nab titik beratkan ialah manfaatkan waktu maghrib ke isyak dengan Al Quran. Pastikan kakak baca dua mukasurat Al Quran. Itu yang utama.




Tuesday, December 13, 2016

Ayam Goreng Tepung

Teks : Zainab Norazman
Foto : Koleksi Peribadi

Entri #14

Ayam goreng tepung, kegemaran kanak-kanak sepanjang zaman. Begitulah kanak-kanak dan ayam goreng, berpisah tiada.

Hari ini kak nab bercuti. Maka sempatlah kak nab mengisi petang tadi dengan aktiviti memasak bersama anak-anak. Sambil menyediakan juadah makan malam.

Kakak sememangnya sangat teruja mahu membantu ibu di dapur. Insiden dada melecur terkena percikan minyak panas semasa cuba membantu menggoreng ikan 3 minggu yang lalu rupanya tidak mematahkan semangat kakak untuk membantu di dapur.

Hari ini ayam goreng tepung.

Kakak membantu basuh sayap ayam. Selepas itu kak nab minta kakak perap ayam dengan sedikit garam, kunyit, perencah pasti sedap, sedikit herba daun oregano untuk memberi sedikit aroma.

Selepas 15 minit, kak nab pula pecahkan sebiji telur ke dalam perapan ayam. Telur itu bertujuan sebagai gam. Agar tepung melekat pada isi ayam.

Dan seterusnya, tugas kegemaran kakak ialah bantu salut ayam dengan tepung.

Kakak membantu salut tepung

'Pembantu' rayyan

Alhamdulillah. Melibatkan anak-anak dalam aktiviti masak-masak sebenarnya sangat leceh. Bersepah. Sememeh. Tepung bertaburan. Tapi hal-hal begini sangat nikmat. Ia tersimpan sebagai kenangan bila mereka besar nanti. Priceless.



Seorang kawan kak nab pernah berkata, "alah, anak-anak jangan dimanjakan sangat. Esok-esok bila mereka sudah besar, kita yang dah tua ini akan ditinggal-tinggalkan".

Bagi kak nab, tidak mengapalah jika kalian meninggalkan kerana belajar, berumahtangga, atau bekerja. Tapi jadikanlah bekalan kenangan kita bersama sepanjang kalian membesae ini sebagau tiket kalian untuk ingat jalan pulang ke rumah ibu dan ayah.

Zainab Norazman - Ibu Penyayang Sedunia.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...