Showing posts with label Catatan Harian. Show all posts
Showing posts with label Catatan Harian. Show all posts

Monday, October 28, 2019

Phonegraphy : Minum Petang Roti



Sebab dah belajar #phop kan, rugilah tidak aplikasi dalam kehidupan seharian.

Bukan untuk menunjuk, tapi kita sejenis suka explore ilmu Allah Ya Wasi', luas sangat ilmu Allah ni untuk kita terokai, untuk kita lebih mengenal keindahan alam, untuk kita lebih mengenali Sang Pencipta.

Hujan begini, nikmati rezeki Allah dengan keindahan.

Zainab Norazman
Suka tangkap gambar.

#PhopByLiniMohd
#phonegraphybyzainabnorazman

Friday, January 25, 2019

Kenangan, Cipta Bersama Anak-anak

Teks : Zainab Norazman
Entri #150

Hari itu rakan sekerja saya sebut begini. Memori paling dia ingat tika bersama arwah abah mereka. Setiap malam Jumaat, mereka adik beradik akan dicutikan kelas mengaji. Abah mereka akan kumpulkan semua adik-beradik dan mereka akan baca surah Yaasin ramai-ramai.

Abah mereka kata, "Nak halau hantu malam Jumaat supaya tak masuk rumah mereka." Hahaha, sambil gelak kawan saya tu bercerita, tapi di kelopak matanya seakan ada air kolam yang bakal tumpah.

Sungguhlah. Kenangan masa kecil itu selalu buat kita rindu.

Aktiviti rutin yang ringkas saja, namun besar impaknya dalam kehidupan kita saat dewasa begini.

Part saya. Saya paling ingat ialah memori makan malam beramai-ramai. Walau ada meja makan, emak akan letak semua lauk di atas talam. Bapa, emak dan semua adik-beradik duduk makan dalam bulatan. Ada semangkuk air basuh tangan di tepi arwah bapa. Pinggan arwah bapa paling lebar. Pinggan dan gelas khas untuk bapa. Tiada anak-anak yang berani guna. Hehehe. Kecuttt.

Ya, memori itu yang paling melekat di dalam hati.

Kalian juga pasti ada memori yang tidak dapat hilang dari kotak kenangan kan. Simpanlah ia dengan cermat. Atau kongsikan pula bersama anak-anak kita hari ni. Semoga ia bakal menjadi memori baru yang lebih indah dalam kehidupan anak-anak kita nanti.

Apabila kita sudah tua. Atau sudah tiada.

Zainab Norazman
Mencipta sebuah memori baru

Tuesday, January 8, 2019

Azam 2019, Mengurangkan Pendedahan Terhadap Skrin

Teks : Zainab Norazman
Foto : Zainab Norazman
Entri #147

Bergelar ibu, anak masuk sesi persekolahan, ibu yang paling sibuk.


Sekejap jadi tukang jahit. Jahit tudung sekolah anak, jahit lencana dan tag nama.

Benda paling 'layan', balut buku teks. Ya lah, anak-anak masih kecil, takkan nak dera balut buku sendiri. Ibu mithali juga yang ambil peranan.

Awal sesi, banyak tangan-tangan kecil bantu buka selotap, gunting selotap. Senang kerja ibu.

Tepat jam 9, "Ibu, masa kami telah tamat. Jam loceng tidur sudah berbunyi".

Disebaliknya, ibu pun melonjak horaiii. Boleh buka hp. Hehehe.

Azam 2019 kami, tiada gajet untuk hari Isnin hingga Jumaat. Untuk ayah dan ibu, dilarang sama sekali 'melayani' hp mula balik kerja sehingga jam 9 malam iaitu waktu tidur anak-anak.


Makna kata, tunggu anak-anak tidur baru boleh tengok hp. Kalau ada saya sempat membuat hantaran atau menjawab wassap waktu perintah berkurung itu, ertinya saya sedang kunci pintu bilik dan curi-curi buka hp. Kahkahkah.

Zainab Norazman
Misi membanteras terlalu terdedah pada gajet.

Sunday, January 6, 2019

Zikir Allah Allahu Robbuna, Melepaskan Segala Kesusahan Di Hati

Teks : Zainab Norazman
Foto : Ihsan Google
Entri #146

Dalam hidup ini, selagi ada Allah, lepaskan segala rasa itu kepada Dia.

Zikir ini zikir yang hebat. Mampu melepaskan semua rasa kesusahan di dalam hati kita menjadi kelapangan yang tidak terperi.

Allah Allahu Robbuna Laa Nusyriku Bihii Syai-aa.

"Allah Allah Rabb kami, kami tidak akan menyekutukan Mu sekecil apa pun".

#kaknab


Tuesday, December 25, 2018

Kembara Cuti Sekolah - Taman Hidupan Liar Lokawi Sabah

Teks : Zainab Norazman
Foto : Zainab Norazman
Entri #145

Sakan betul anak-anak memikir apa lagi aktiviti nak buat selagi ada sisa cuti sekolah ni. Macamlah hari lain tak boleh rancang projek jalan-jalan pula kan.


"Ibu jomlah ke mana-mana lagi sebelum sekolah bermula".

Lalu saya merencanakan untuk ke Taman Hidupan Liar Lokawi sempena cuti hari ini.

Baru mahu keluar rumah tadi, hujan turun dengan lebatnya.

Allahu. Masing-masing buat muka monyok macam kerang busuk.

"Daripada duduk monyok gitu, jom kita doa sama-sama. Hujan begini waktu mustajab doa. Allah makbul doa kita."




Add caption






 "Ibu, ibu. Fatehah dah jumpa My Little Pony"





Jam 9.30 pagi, hujan berhenti dan alam kembali cerah. Alhamdulillah ala kullu nikmat.


Usai 'mengembara' hutan Lokawi, bagi reward aiskrim ke anak-anak. Syukurlah ada trak Aiskrim Zyeni tadi. Anak muda melayu yang mengusahakan lori comel menjual aiskrim ini.

Zainab Norazman
Bahagia apabila makan aiskrim sambil duduk bertenggek di tepi tangga.

Saturday, December 22, 2018

SEKADAR NUKILAN PAGI

Teks : Zainab Norazman
Entri #144

Dalam hidup ni, kita tak perlu tahu bagaimana untuk lakukan semua benda. 

Tapi kita perlu tahu dan yakin, apa yang kita mahu capai di penghujungnya nanti. 

Orang macam mana kita nak jadi, kehidupan macam mana yang kita nak, ibu bapa macam mana kita mahu jadi untuk anak-anak. 

Bila kita nampak goals kita, dan betul-betul nak capai, Allah pasti tunjukkan jalan untuk ke arah itu.

  • #kaknab

Tuesday, July 3, 2018

LIRIK LAGU JANGAN MENANGIS HABIBAH

Teks : Zainab Norazman
Entri #141

Memandu sendirian di kala pagi hening, selalu saja merusik hati dan perasaan. Kadang tu, berkhayal jauh memikirkan masa depan dan masa lalu.

Selain dalam qiam, momen beginilah boleh kita ambil peluang untuk bercakap-cakap dengan diri sendiri. Berbisik-bisik pada Allah. Sambil muhasabah salah silap yang terlanjur dengan emak, suami dan anak-anak. Terlebih-lebih gurau dengan kawan.

Masa itulah airmata akan mengalir lagi. Hahaha. Dalam hati kata, nangislah. Dengan harapan kereta sebelah tak nampak kot.

Pagi kemarin, sambil memandu dan mendengar siaran dari ikim.fm, terlintas pula lagu kesukaan yang selalu membuatkan hati siapa saja boleh tersentuh.

Jangan Menangis Habibah dendangan Aris Ariwatan, sebuah lagu yang ditulis oleh beliau khusus untuk kakaknya yang masa itu sedang bertarung menahan kesakitan akibat kanser yang kian merebak. Lirik lagu ini ditulis untuk memberikan inspirasi dan kekuatan buat kakaknya agar dapat melawan kesakitan itu.

Tatkala melihatkan kakaknya semakin terinspirasi dan kian pulih, Aris Ariwatan menghadiahkan pula lagu ini buat seluruh insan yang bergelar wanita di luar sana.

Agar jika ada yang sedang sakit, kita ambil semangat itu.

Jika ada yang berduka, jadikan ia sebagai sumber merawat duka.

Begini bunyi liriknya.

Kemari sini Habibah,
Lepaskan gundah gulana,
Izinkanku mendengar,
Resah jangan terus dibiar.

Jangan menangis Habibah,
Penatmu itu ibadah,
Isteri yang taat setia,
Syahidlah ganjarannya.

Teladanilah wahai wanita,
Betapa tabah Siti Khadijah,
Luhurnya hebatnya Fatimah.

Teladanilah wahai wanita,
Selautan ilmu Siti Aisyah,
Kudusnya taqwanya Rabiatul Adawiyah.

Solat lima waktu,
Puasa di Ramadan,
Taati suamimu,
Maruah dipertahan.

Sabdanya pilihlah,
Syurga mana,
Pintu mana,
Yang kau suka.

Pada hemah saya sebagai seorang wanita, “Jangan Menangis Habibah” adalah lagi untuk kita.

Kita wanita. Kita sang kekasih. Seorang isteri. Seorang ibu.

Kesakitan itu bukan untuk sakit fizikal semata. Boleh jadi untuk apa saja rasa yang kita lalui sehari-hari. Penat dan lelah yang terasa, aduh tidak tertanggung oleh tubuh kecil ini.

Penat dengan kerja di pejabat, kerja di rumah.
Penat menguruskan hal rumahtangga yang kadang teruji dengan perasaan dan tergigit lidah.
Penat memikir cara terbaik agar bisa mencurahkan dan menyalurkan kasih dan sayang buat anak-anak dengan tarbiah yang terbaik.
Penat menahan rasa pedih hati dek berlakunya kepincangan dan kecelaruan akhlak remaja hari ini.
Penat membaca serba-serbi cerita di media sosial.

Dan jadi netizen yang tidak mahu memikir pun penat juga. Penat sebab tidak memikir. Penat sebab asyik menuding jari semata.

Baik, kita kembali ke perbincangan asal. Hehe.

Duhai wanita, jangan menangis lagi. Setiap penat itu Allah jadikan ia sebagai hadiah ibadah. Allah jadikan wanita itu istimewa dengan satu kekuatan luar biasa yang ada dalam jiwa mereka.

Hidup ini perlu dijalani.

Lirik lagu ini juga mengajak setiap suri itu menghayati kisah dan perjuangan wanita di zaman Rasulullah SAW.

Perjuangan Sayyidatina Siti Khodijah, Siti Aishah, Fatimah Az Zahra, dan taqwanya Rabiatul Adawiyah.

Kerana setiap penat itu ibadah.

Jalani hidup ini dengan tenangnya. Jaga solat. Pelihara puasa. Taat kepada suami. Tambah amal-amal sedekah. Dan jaga maruah dan aurat kita. Jaga aib ayah ibu dan suami.

Lalu Rasulullah SAW bersabda, kau pilihlah pintu syurga mana yang kau suka. Pilihlah puntu syurga mana yang kau mahu masuk.

Pilihlah pintu syurga mana.

Zainab Norazman
Wanita yang mencemburui wanita syurga.

Monday, July 2, 2018

TIP MEMBACA AL-QURAN DENGAN PENUH CINTA

Teks : Zainab Norazman
Entri #140

Mohon izin kepada yang menulis ini. Saya kongsikan di sini untuk kalian yang sudi menjenguk ke rumah saya ini.

Begini tulisan ini.

Selalunya kita membaca Al-Qur'an tetapi sekadar baca tanpa berbicara dan berbisik-bisik  dengan Al-Qur'an yang kita pegang itu.

Tak pernah kita rasa aliran roh Al-Qur'an dalam diri kita tambahan lagi dahlah tak faham maknanya.

Ini antara amalan Al-Fadhil Ustaz Syed Khudri; Saat kita ingin membaca Al-Qur'an:

Ambil Al-Qur'an sambil senyum dan beri salam padanya.

1. JUNJUNG (Letak atas kepala),
Niatkan supaya Allah beri kelancaran dan kefahaman kepada kita.

2. CIUM;
Lintaskan dalam hati yang kita berterima kasih pada Rasulullah SAW kerana memberi kita nikmat mendapat satu2nya pusaka Baginda yang berharga ini.

3. PELUK (Letak di dada dengan erat),
Berbicaralah dengannya untuk setia dan sudi menjadi teman, sahabat dan kekasihnya di dunia, Alam Barzakh dan Akhirat.

Rayulah agar Al-Qur'an ini sudi memberi pertolongan dan syafaat kepada kita.

Amalkan tip ini, insya-Allah kita akan merasai nikmat ketenangan dan roh Al-Qur'an akan sentiasa mengalir dalam jiwa.

Wallahu a'lam.

Monday, April 2, 2018

Ustaz Abdul Somad Di Sabah

Teks : Zainab Norazman
Foto : Ihsan Google
Entri #139


Ustaz Abdul Somad merupakan seorang pendakwah dan ulama yang berasal dari Riau Indonesia. Menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Terkenal dengan beberapa siri kuliah agama khususnya dalam bidang hadis dan ilmu fekah. Juga suka membahas tentang isu nasionalisme yang terkini.

Pada hemat saya, Ustaz Abdul Somad begitu mendapat tempat di hati seluruh rakyat marhaen lantaran cara kupasan yang cantik, bicara yang sentap, namun terselit sedikit gurauan ‘pedas’. Ia sentap, namun sampai di hati.

Kajian-kajiannya yang tajam dan menarik menyebabkan seluruh lapisan masyarakat suka akan tausiahnya. Ulasan yang cerdas dan tangkas, ditambah lagi bijak dalam merungkai kosa kata yang menjadi sebuah retorika dakwah, membuatkan ceramah Ustad Abdul Somad begitu mudah dicerna dan mudah difahami oleh rakyat marhaen.

Ustad Abdul Somad juga ada menulis beberapa buku yang menjadi ‘best seller’ di kalangan peminat buku-buku agama. Antara karya beliau ialah 37 Masalah Populer, 99 Pertanyaan Seputar Sholat dan 33 Tanya Jawab Seputar Qurban.

Bermula hari ini, gelombang Ustaz Abdul Somad sedang berdengung di bumi Sabah. Sekian lama rakyat Sabah menanti kehadiran ustaz, akhirnya tercapai hajat peminat ustaz.

Kepada yang mengejar lokasi Ustaz Abdul Somad, lepas maghrib ini boleh cepat-cepat ke Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Likas. Ceramah akan bermula jam 8.30 malam hingga 10.30 malam. Moleklah datang bermula mahgrib dan niatkan iktikaf sambil mengaji ilmu.

Esok 03 April pula :

Kuliah Subuh jam 5.00 pagi hingga 9.00 pagi di Masjid As-Sobirin, Sipanggil, Putatan.

Ceramah Umum jam 9.30 pagi hingga 12.00 tengahari di Dewan Saadah Wisma Muis.

Tazkirah Zohor jam 1.00 hingga 2.00 tengahari di Masjid Negeri Kota Kinabalu.

Ceramah Umum jam 8.00 hingga 10.00 malam di Masjid Cahaya Iman, Membakut.

Mari sama-sama kita mengimarahkan majlis ilmu. Semoga subur bumi Sabah dengan syiar Islam.

Nabi SAW bersabda, ''Apabila kalian berjalan melewati taman-taman Surga, perbanyaklah berzikir.''

Para sahabat bertanya, ''Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksud taman-taman surga itu?''

Nabi menjawab, ''Yaitu halaqah-halaqah zikir (majelis ilmu).''

Zainab Norazman
(Bukan) Ustajah Menulis Saja.

Sunday, February 18, 2018

Ujian Sakit Tanda Allah Kasih

Teks : Zainab Norazman
Entri #138

Jam 6 pagi semalam, cepat-cepat minta suami hantarkan ke unit kecemasan Hospital Queen. Masa tu badan betul-betul tidak larat menanggung demam yang naik 39.5 darjah.

Setibanya di unit kecemasan, doktor melakukan kaji selidik dan meminta saya untuk melakukan beberapa ujian. Ujian darah mengesan denggi, ujian darah mengesan malaria, ujian darah mengesan kencing tikus dan xray paru-paru.

Alhamdulillah, ketiga-tiga ujian darah menunjukkan bacaan negatif. Tapi daripada gambar xray, mendapati terdapat jangkitan pada paru-paru. Sebab itu demam tetap naik. Virus sudah bermaharajalela di situ.

Hari ini, sudah hari keenam saya masih demam lagi. Ikhtihar dengan antibiotik melawan virus pada paru-paru. Semoga saja Allah memberikan kesembuhan asbab ikhtihar ini.

Allah itu menguji hambaNya dengan musibah dan nikmat untuk melihat siapa yang bersyukur dan siapa yang kufur. Siapa pula yang sabar dan siapa yang berputus asa.

Bersabarlah.

Ujian itu tanda Allah rindu mendengar rintihan dan doamu.

Friday, February 16, 2018

Demam Seribu Rahmat

Teks : Zainab Norazman
Entri #137

Cuti. Dan saya baru kebah demam, melepek tiga hari di atas lembek. Hari ini pula sudah diputuskan untuk mengadakan kenduri kecil-kecilan bersama keluarga kecil, di rumah kecil kami. (Kecil tapi signifikan).

Semalam, pagi ke petang masih melepek. Setibanya mak dan makcik saudara, serasa ada aura segar menerpa. Begitulah aura kekeluargaan.

Malam ini saya melepek kembali. Keletihan mengemas dan membersihkan rumah.

Oh, rupanya tadi hari Jumaat. Hari yang penuh barkah. Namun saya terlalai seketika dengan keseronokan dunia. Kurangnya selawat. Terkurang zikir. Terlebih fikir. Ter’overdose’ bicara bibir.

Astaghfirullah lil mukminina wal mukminat.

Pelbagai nikmat yang Allah berikan hari ini. Allah beri peringatan dengan Maha Lemah Lembut.
.
.
Baiklah. Malam ini perlu rehatkan jasad dan rohani. Hari esok ada amanah baru yang telah ditaklifkan ke atas diri kerdil ini.

Semoga Allah pimpin hati. Beri hati yang ikhlas. Permudahkan segalanya.

Zainab Norazman
Sejahtera bersama Islam.

Tuesday, February 13, 2018

Lohan Semakin Dekat Di Hati

Teks : Zainab Norazman
Foto : Zainab Norazman
Entri #136

Ranau, 6.30 pagi, 06 Februari 2018
Dari belakang rumah Bodu, ternampakkan sang Gunung Kinabalu memunculkan dirinya.

Hati memuji-muji nama Tuhan Yang Mencipta. Dia yang mentadbir sekalian alam.

Foto ini diambil seawal 6.30 pagi. Pada masa itu, kesejukan pagi Lohan memanggil-manggil aku untuk keluar menghirup angin segar. Terdengarkan suara anak-anak yang sedang bersorak girang melompat ke dalam sungai. Encik suamilah yang menemani mereka.

Suasana begini pastinya akan membawa aku ke zaman kenangan masa kecil.

Begini pemandangan Kampung Gudon sewaktu dulu.

RIndu berkecamuk kembali.

Ya, rindu itu terus tersimpan. Kerana tiada zaman mencipta kenangan di sana bersama anak-anak pula. 

Lantaran itu, di tanah sejuk ini aku heret anak-anak. Agar mereka punya kenangan yang sama untuk diceritakan kepada cucu aku nanti. Aiwah. Panjang khayal.

Begitulah. Lama tidak menulis di sini.

Saya mahu kembali, sebenarnya.

Biiznillah.




Resipi Ayam Penyet Paling Sedap Ada Di Supreme Ayam Penyet Putatan

Teks : Zainab Norazman
Foto : FB Supreme Ayam Penyet Putatan
Entri #135

Sekali lalu, restoran makan ini pasti mengundang rasa ingin masuk.

Pandangan luar kedai makan ini nampak ekslusif, rupanya Supreme Ayam Penyet asli hanya RM8.80.

Penggemar ikan boleh juga merasa Supreme Ikan Penyet. Ada ikan keli, ikan talapia atau ikan bawal.

Jenis sambal berbeza mengikut citarasa pelanggan. Ada sambal biasa, kuah sambal meleleh atau mahu ayam yang dibakar.

Juga menyediakan soto dan sup tulang yang kaw kaw bilang orang Sabah.

Lokasinya terletak dia Royal Plaza Putatan. Dibuka setiap hari mula sehingga 10 malam. Ada kawasan letak kenderaan selesa.

Paling melapangkan hati, saya datang hari tu adalah Jumaat, tiada pekerja lelaki yang kelihatan. Agaknya semua berduyun-duyun menunaikan kewajipan solat Jumaat. Pekerja perempuan manis bertudung, berlengan panjang.

Selain itu, kedai makan ini juga menyediakan sebuah surau kecil untuk kemudahan pelanggan yang mahu menunaikan solat fardhu.

Perkhidmatan pelanggan boleh diberi empat bintang. Sesekali ada masam sikit, mana tidaknya, pelanggan bersesak menanti kerusi kosong.






Sunday, September 17, 2017

Ayam Berak Atas Selipar Ibu

Teks : Zainab Norazman
Foto : Zainab Norazman
Entri #134




"Hah ibu, itulah ayam yang berak di selipar ibu tu", sambil menunjuk ke arah ayam hitam yang sedang mematuk sisa makanan di belakang rumah.

"Mana ayam tu? Berani dia berak atas selipar ibu. Mari sini kau ayam, ibu mahu sembelih buat makan tengahari nanti."
.
.
.
"Eh ibu, ibu masak ayam apa ni?" Rayyan bersoal siasat lagi. Mungkin pelik tengok ayam goreng yang dilenyek begini.

"Ibu cuba buat ayam penyet ni hah."

"Mana ibu dapat ayam ni?"

"Tadi, ibu tangkap ayam yang berak di selipar ibu tu. Sembelih dia, goreng lepas tu ibu pukul lagi ayam tu. Geram ibu tengok dia".

"Eeii. Ibu ni. Kejam."
.
.
.
Hahaha. Sapa suruh. Banyak sangat soalan budak Rayyan ni.

Zainab Norazman
Ayam penyet versi tak cukup bahan.

Saturday, September 2, 2017

Ziarahi Bodu di Kampung Pinawantai

Teks : Zainab Norazman
Foto : Zainab Norazman
Entri #133

Berduyun-duyun turun ke sungai



Perjalanan ke Ranau kali ini tanpa rancangan rapi. Niat awal, suami yang mahu menziarahi Bodu bersendirian (nenek dalam bahasa Dusun) di Kampung Pinawantai.

Namun, memandangkan cuti yang panjang tanpa apa-apa program. Maka merayu juga mahu ikut secara tiba-tiba. Padahal suami mahu bermalam 2 malam di sana. Jadinya terpaksa bermalam sehari saja. Hari Isnin ada majlis qurban akikah di pejabat pula.

Jauh juga perjalanan untuk sampai di Kampung Pinawantai. Jika dari Kota Kinabalu ke Kampung Lohan Ranau memakan masa 2 jam. Kali ini ditambah lagi lebih kurang 1 jam dari Lohan Ke Pinawantai.

Kampung Pinawantai sebenarnya berada di garisan penghujung Ranau, memasuki Kota Marudu. Kata suami, "kalau zaman kanak-kanak dulu, perjalanan dari Lohan ke Pinawantai akan mengambil masa sehingga 3 jam lamanya."

Sesampai di rumah Bodu tadi, deruan air sungai kecil ini memanggil-manggil dengan girangnya. Hajat hati hanya mahu bermain-main air, berlarutan menjadi pesta mandi sungai. Anak-anaklah yang paling seronok.

Kami tidak melepaskan peluang untuk bercerita dengan Bodu. Masa kecil, suami dijaga oleh Bodu sejak usia dua bulan sehingga darjah 6. Selepas itu, suami menyambung persekolahan peringkat menengah di Keningau. Tinggal bersama Abah pula.

Sempat juga suami berjalan-jalan masuk ke kebun tanaman Bodu. Jika masuk lebih dalam lagi, ada sawah padi bukit yang baru disemai. Hajat suami itu, mahu meninjau jika ada hasil tanaman nenek yang boleh dijadikan sumber pendapatan nanti.

Menjelang petang, kami meminta izin untuk bertolak balik ke Lohan. Walaupun niat awal mahu juga bermalam di dalam hutan, berteman bunyi cengkerik. Dan didendangkan dengan deruan irama sungai.

Disebabkan Bodu masih menggunakan tandas dan bilik air 'old school' di dalam sungai, maka kami menukar hasrat di hati kami. Hehehe. Bodu juga tidak sanggup melihat kami turun ke sungai di tengah malam jika mahu melepaskan hajat.
.
.
Saya sebenarnya merindui suasana begini. Keghairahan saya adalah melihat gunung-ganang, deruan sungai dan suasana kampung yang penuh dengan kehijauan.

Saya membesar dengan kehijauan sebuah kampung yang kini sudah kian menjadi bandar.

Berada di tempat begini, hati semakin memuji kebesaran Tuhan Yang Menciptakan. Jadi kesempatan yang sedikit ini, saya menumpang untuk melepaskan kerinduan.

Entah hutang kesempatan apa lagi yang kita mampu langsaikan. Semoga Tuhan masih sayangkan kita semua untuk melangsaikan hutang yang telah kita cipta. Hutang wang ringgit terhadap sesama manusia. Hutang budi sahabat kita yang baik. Juga hutang amal dan ibadah kita kepada Allah swt yang masih kita tinggal-tinggalkan.

Semoga saja Allah hantarkan kita bantuan-bantuanNya untuk kita terus dapat memelihara silatulrahim sesama manusia.

Hablum minAllah
Hablum minan Nas
Hablum minal 'alam

Zainab Norazman
Hanya hamba.

Monday, August 28, 2017

Donut Untuk Kakak Yang Demam

Teks : Zainab Norazman
Foto : Zainab Norazman
Entri #131

Satu kelegaan saya apabila Kakak Dania diserang demam, dia boleh saja makan seperti biasa dia sihat. Malah macam-macam permintaan yang dibuat mengikut tindakbalas dari dalam perut ke saraf otak. Semalam minta ayah belikan pizza hut. Hari ini minta dibuatkan donut.

Mengikut teori dalam mikrobiologi, kini baru ditemui bahawa perasaan mahu makan macam-macam di kalangan ibu yang mengidam sebenarnya berkaitan dengan bakteria dari dalam perut. Bakteria itu yang hantar macam-macam signal melalui saraf-saraf dan diterima oleh otak.

Sama juga kalau orang demam. Selepas memusnahkan bakteria jahat, bakteria baik itu akan jadi bakteria baru dan buat kerja yang sama. Sebab itu juga, orang baru baik demam akan berasa mahu makan macam-macam. Begitulah alkisahnya.

Hari ini bercuti untuk merawat Kakak Dania pula. Lebih kurang 2 minggu ini dia demam sihat, demam semula. Kali ini agak kuat juga panas badannya.

Lalu, bila Kakak Dania kata mahu makan donat, emak cepat-cepat saja adunkan tepung bersama yis untuk dijadikan donat. Demi cucu, kata emak.

Apabila agak kembang, kami anak beranak pula ambil alih tugas menguli dan membuat gegelung donat. Berebut-rebut tangan halu buat bulat-bulat. Nasiblah kalau ada sebiji dua yang 'mati' yis dia nanti. hehehe

Yang paling cenonet itu adalah airtangan Rayyan.
Dan air tangan Fatehah sudah selamat menjadi
lempeng donat. Dia sudah pun jamu arnab, dora, teddy, butterfly dan haiwan peliharaan yang lain makan berjemaah.

Kalian, kita sama juga seperti proses membuat donat. Tepung itu dibeli dari kedai. Emak mengadun tepung menjadi doh donat. Menanti kembang, entah jadi atau tidak. Apabila sudah kembang, orang lain pula bantu selesaikan proses membuat gegelung donat.

Proses kita melalui setiap hikmah itu pelbagai rupa. Mungkin ujian menimpa kita. Atau ujian menimpa orang lain. Pasti ada saja Allah datangkan bantuan untuk menyelesaikan ujian itu.

Begitu sebaliknya.

Dan begitulah kehidupan.





Tuesday, August 22, 2017

Waqaf untuk Pusat Pendidikan Islam An-Nur

Teks : Zainab Norazman
Foto : Zainab Norazman
Entri #128


Poster waqaf untuk Pusat Pendidikan Islam An-Nur


Pusat Pendidikan Islam An-Nur (PPIAN) adalah sebuah sekolah bukan tajaan kerajaan. Namun berdaftar dengan JHEINS. Maka setiap inci perbelanjaan adalah atas tanggungan sendiri daripada 'pelaburan yuran' yang dibayar oleh ibu bapa pelajar dan juga atas infaq orang ramai.

PPIAN merupakan sebuah Sekolah Rendah Islam (SRI) antara yang terawal ditubuhkan di Sabah, iaitu pada tahun 2012. Dengan moto penubuhan sekolah "Membina Generasi Al Quran Terbilang Insan Cemerlang, sekolah ini mempunyai matlamat yang tinggi dalam melahirkan para tahfiz yang berakhlak mulia, serba boleh dan berketerampilan. Serta melahirkan anak bangsa Kota Kinabalu yang cemerlang akademik dan juga hafaz Al Quran.

Memandangkan sekolah ini menjadi tumpuan ibu bapa, maka setiap tahun akan wujud persaingan yang sangat sengit untuk merebut sebuah kerusi untuk anak-anak di dalam kelas. Ehh, bukan merebut kerusi DUN sahaja ya.

Suasana sekolah ini sangat jauh berbeza. Seawal 6.30 pagi, kehadiran anak-anak akan disambut dengan alunan zikir yang menyejukkan hati. Memulakan sesi persekolahan dengan solat sunat dhuha, bacaan Al Mathurat, bacaan Yaasin dan juga bacaan Al Quran. Pendek kata, anak-anak akan dididik, diajar dan ditarbiyah umpama sehari hidup dengan sunnah Rasullah SAW.

Keriuhan suara anak-anak yang belajar ilmu akhlak tauhid feqah bertambah pada sesi petang dengan kehadiran anak-anak SAR yang memulakan sesi pembelajaran bermula jam 2 petang sehingga 5 petang.

Bersebelahan kawasan sekolah, sebuah surau kecil yang berkhidmat sebagai tempat anak-anak sekolah menunaikan solat secara berjemaah. Juga berbakti untuk ahli jemaah surau yang aktif dengan pelbagai majlis ilmu di kalangan para asatizah dan ulama yang mursyid.

Dan hari ini, Pusat Pendidikan Islam An-Nur ingin mengajak orang ramai untuk sama-sama 'meninggalkan kesan tapak kaki' di sini dalam projek membaik pulih jalan utama memasuki kawasan sekolah dan surau. Dengan harapan, semoga setiap penginfaq dapat berkongsi bekalan yang pastinya akan mengalir selagi mana ada kaki-kaki kecil yang melangkah di sekolah ini dan selagi Surau Riyadussolihin ini subur dengan majlis yang bermanfaat.

Setiap seorang boleh menyumbang waqaf tunai berjumlah RM50 per kaki. Kos keseluruhan untuk projek baik pulih jalan utama ini berjumlah RM50,000.

Semoga apa yang kita infaqkan untuk projek Pusat Pendidikan Islam An-Nur ini akan menjadi bekalan dan pahala berpanjangan untuk kita.

Kalian boleh menghubungi pejabat sekolah di talian 088 230 584.

Pengerusi PPIAN, Encik Hambali Bin Saad 017 818 2728

Pengerusi Surau Riyadussolihin, Ustaz Muhammad Bin Suaid 019 812 1621

Mudir PPIAN, Ustaz Khusnul Hidayat Bin Hassan 019 509 1763

Monday, August 21, 2017

Pasar Tamu

Teks : Zainab Norazman
Foto : Ihsan Google
Entri #126


Baru-baru ini, saya menyampaikan hajat emak yang sudah lama tidak ke pasar tamu Putatan. Selalunya emak menolak ajakan.

Pagi itu seawal jam 6 pagi emak sudah bersiap-siap. Emak kata, banyak ikan segar-segar awal pagi pagi begini. Saya akur dan cepat-cepat siapkan sarapan pagi untuk suami dan anak di rumah.


Pasar tamu Putatan

Masa kecil dahulu, saya selalu ke pasar tamu Pekan Menggatal bersama emak. Menaikan bas prebet dari pondok bas depan kampung ke Pekan Menggatal. Di pasar, emak berjalan di hadapan dan saya membontoti emak sambil memegang bakul rotan temoat menyimpan barang-barang.

Hari ini, saya pula membawa emak dengan menaiki viva biru, si pujaan hati saya. Hehehe. Bezanya kini di Putatan. Dan kami merindui pasar tamu Pekan Menggatal dan pasar tamu Pekan Tuaran yang menjadi lokasi kami dahulu. Sejak berpindah ke Putatan ini, pasar tamu Putatan yang menjadi idaman hati.

Kebanyakan peniaga di sini menjual ikan segar dan sayur kampung  yang dipetik sendiri daripada hutan. Ada juga ikan ikan pula adalah hasil tangkapan sendiri. Bolehlah merasa ikan segar tanpa ubat pengawet.

Hari itu, saya membeli 2 kilo ikan ketambak, 2 kilo ikan lami-lami, sebungkus tiram, dan 2 kilo ikan bilis mata biru. Emak pula awal-awal sudah berpesan mahu mencari ubi kayu untuk dibuat tapai ubi.

Sambil membeli dari gerai ke gerai, emak sempat berpesan, "kalau membeli, jangan beli di satu gerai sahaja. Agih-agihkan rezeki kepada lain-lain penjual. Biar semua orang mendapat rezeki hari ini. Kasihan mereka, penat mereka menangkap ikan, mencari hasil jualan, kalau kita tidak habiskan jualan mereka, kasihan mereka."

Pada hari itu, emak gembira dapat ubi kayu dan juga kulat kodop
Kulat kodop daripada pokok yang sudah mati.
yang diidam-idamkan. Dan saya pula, tidak sabar menanti emak masakkan kulat kodop itu. Hehehem itulah air tanagn emak yang dirindui. Kalau dulu, kulat kodop itu kami kutip di dalam hutan pokok getah di belakang rumah. Kini, kami 'kutip' di pasar taku Putatan dengan bayaran RM10 dua mangkuk. Hehhe.

Cukuplah sekadar melepaskan rindu, emak akhiri bicara saat kereta viva biru masuk ke dalam pagar rumah.



Sunday, August 20, 2017

Semut

Teks : Zainab Norazman
Entri #124

Pernah orang kata pada Kak Nab, ibu ni umpama gula pada anak-anak. Anak-anak pula itu umpama semutnya. Ini bermakna, ibu dorang ni sweet lah sangat kan.

Mana tidaknya, ibu masak di dapur, ada juga 'ekor' yang membontot. Ibu jemur kain, pun jemr kain juga. Ibu baring-baring di ruang tamu, semua berulit dengan ibu. Ibu masuk bilik jahit, maka di sana juga mereka berkhemah.

Sorang baring bawah kerusi sambil baca buku. Yang budak cantik ni mesti di belakang ibu, tersepit di antara ibu dan belakang kerusi. Dan srang lagi habis barang dalam bilik jahit ni diterokai.

Mana barang yang ibu lama tidak jumpa, tiba-tiba masa itu jugak terkeluar dari tempat persorokan. (Eh, ada kah perkataan ni).

Haih la anak. Tunggulah kalian besar sikit, kita buat projek jahit sama-sama. Sorang ibu suruh gunting kain. Sorang jahit. Dan sorang lagi menyulam. Ibu pula duduk-duduk goyang kaki. Hehehe.

Zainab Norazman
Ibu 3 Anak Comel. Aisemen.

Masakan Air Tangan Ibu Sebagai Pengerat Kasih

Teks : Zainab Norazman
Foto : Zainab Norazman
Entri #123

Apabila perancangan pada hari itu kita tulis dengan teliti, secara tidak langsung pasti Allah bantu kita melaksanakan tugasan itu dengan teratur.

Cuti dua hari ini yang pastinya akan saya manfaatkan sungguh-sungguh untuk menjadikan ia masa yang berkualiti untuk anak-anak dan suami.

Waktu seminggu Isnin hingga Jumaat hanya menu ala kadar yang menjadi santapan makan malam. Mana tidaknya, berkejar balik kerja dan uruskan anak-anak pula waktu malam. Justeru, menu ringkas suri bekerja saja yang disediakan.

Maka waktu begini, kita raih sungguh-sungguh. Menyediakan menu kegemaran suami dan anak-anak pasti menjadi satu agenda dalam perancangan di hujung minggu. Bermula sarapan sehingga ke makan malam, semua dengan air tangan ibu. Walaupun kadangkala suami mengajak untuk makan-makan di luar.

Hari ahad begini, kami rancang untuk berehat di rumah. Bermula malam sabtu, tilam dan bantal sudah bersusun di ruang tamu. Hehehe. Ini sebenarnya kesukaan anak-anak. Walaupun di hujung minggu adalah masa untuk pembersihan menyeluruh, namun sesekali kami suka juga melepak dan tidur di ruang tamu. Maka segala bantal akan bersepah di ruang tamu. Petang ahad kami akan kemas dan kembali tidur di dalam bilik masing-masing.

Hari ini, awal sungguh siapkan makan tengahari. Alang-alang sudah berperang di dapur, terus siapkan segalanya. Rayyan paling gembira bila tengok ibu bakar ikan dan bagitahu nanti ibu letak sambal di atasnya. Itu kesukaan Rayyan. Boleh habis seekor ikan untuk dia seorang.

Sayur pucuk ubi masak lemak pula di letakkan di mangkuk khas untuk dia. Makan nasi sambil hirup kuah sayur tadi.

Bergembiralah hati ibu ini tatkala melihat anak-anak berselera makan ramai-ramai. Kakak Dania yang anti sayur, makan juga sesuap sayur dipaksa Rayyan.

Alhamdulillah ala kulli nikmat. Kegembiraan anak-anak itu sebenarnya terapi buat saya. Penat lelah semua hilang bila melihat kegirangan mereka. Suatu masa nanti, inilah detik yang bakal rindui.

Semoga Allah swt pelihara mereka dan sentiasa dalam kasih sayang Allah.

Menu hari ini. Ikan ketambak bakar, tuangkan sambal tumis. Terung bakar dan juga pucuk ubi masak lemak. Bertambah-tambah suami dan dan anak-anak makan. Alhamdulillah.


Zainab Norazman
Ibu kalian, anak.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...