Monday, August 28, 2017

Donut Untuk Kakak Yang Demam

Teks : Zainab Norazman
Foto : Zainab Norazman
Entri #131

Satu kelegaan saya apabila Kakak Dania diserang demam, dia boleh saja makan seperti biasa dia sihat. Malah macam-macam permintaan yang dibuat mengikut tindakbalas dari dalam perut ke saraf otak. Semalam minta ayah belikan pizza hut. Hari ini minta dibuatkan donut.

Mengikut teori dalam mikrobiologi, kini baru ditemui bahawa perasaan mahu makan macam-macam di kalangan ibu yang mengidam sebenarnya berkaitan dengan bakteria dari dalam perut. Bakteria itu yang hantar macam-macam signal melalui saraf-saraf dan diterima oleh otak.

Sama juga kalau orang demam. Selepas memusnahkan bakteria jahat, bakteria baik itu akan jadi bakteria baru dan buat kerja yang sama. Sebab itu juga, orang baru baik demam akan berasa mahu makan macam-macam. Begitulah alkisahnya.

Hari ini bercuti untuk merawat Kakak Dania pula. Lebih kurang 2 minggu ini dia demam sihat, demam semula. Kali ini agak kuat juga panas badannya.

Lalu, bila Kakak Dania kata mahu makan donat, emak cepat-cepat saja adunkan tepung bersama yis untuk dijadikan donat. Demi cucu, kata emak.

Apabila agak kembang, kami anak beranak pula ambil alih tugas menguli dan membuat gegelung donat. Berebut-rebut tangan halu buat bulat-bulat. Nasiblah kalau ada sebiji dua yang 'mati' yis dia nanti. hehehe

Yang paling cenonet itu adalah airtangan Rayyan.
Dan air tangan Fatehah sudah selamat menjadi
lempeng donat. Dia sudah pun jamu arnab, dora, teddy, butterfly dan haiwan peliharaan yang lain makan berjemaah.

Kalian, kita sama juga seperti proses membuat donat. Tepung itu dibeli dari kedai. Emak mengadun tepung menjadi doh donat. Menanti kembang, entah jadi atau tidak. Apabila sudah kembang, orang lain pula bantu selesaikan proses membuat gegelung donat.

Proses kita melalui setiap hikmah itu pelbagai rupa. Mungkin ujian menimpa kita. Atau ujian menimpa orang lain. Pasti ada saja Allah datangkan bantuan untuk menyelesaikan ujian itu.

Begitu sebaliknya.

Dan begitulah kehidupan.





Tuesday, August 22, 2017

Waqaf untuk Pusat Pendidikan Islam An-Nur

Teks : Zainab Norazman
Foto : Zainab Norazman
Entri #128


Poster waqaf untuk Pusat Pendidikan Islam An-Nur


Pusat Pendidikan Islam An-Nur (PPIAN) adalah sebuah sekolah bukan tajaan kerajaan. Namun berdaftar dengan JHEINS. Maka setiap inci perbelanjaan adalah atas tanggungan sendiri daripada 'pelaburan yuran' yang dibayar oleh ibu bapa pelajar dan juga atas infaq orang ramai.

PPIAN merupakan sebuah Sekolah Rendah Islam (SRI) antara yang terawal ditubuhkan di Sabah, iaitu pada tahun 2012. Dengan moto penubuhan sekolah "Membina Generasi Al Quran Terbilang Insan Cemerlang, sekolah ini mempunyai matlamat yang tinggi dalam melahirkan para tahfiz yang berakhlak mulia, serba boleh dan berketerampilan. Serta melahirkan anak bangsa Kota Kinabalu yang cemerlang akademik dan juga hafaz Al Quran.

Memandangkan sekolah ini menjadi tumpuan ibu bapa, maka setiap tahun akan wujud persaingan yang sangat sengit untuk merebut sebuah kerusi untuk anak-anak di dalam kelas. Ehh, bukan merebut kerusi DUN sahaja ya.

Suasana sekolah ini sangat jauh berbeza. Seawal 6.30 pagi, kehadiran anak-anak akan disambut dengan alunan zikir yang menyejukkan hati. Memulakan sesi persekolahan dengan solat sunat dhuha, bacaan Al Mathurat, bacaan Yaasin dan juga bacaan Al Quran. Pendek kata, anak-anak akan dididik, diajar dan ditarbiyah umpama sehari hidup dengan sunnah Rasullah SAW.

Keriuhan suara anak-anak yang belajar ilmu akhlak tauhid feqah bertambah pada sesi petang dengan kehadiran anak-anak SAR yang memulakan sesi pembelajaran bermula jam 2 petang sehingga 5 petang.

Bersebelahan kawasan sekolah, sebuah surau kecil yang berkhidmat sebagai tempat anak-anak sekolah menunaikan solat secara berjemaah. Juga berbakti untuk ahli jemaah surau yang aktif dengan pelbagai majlis ilmu di kalangan para asatizah dan ulama yang mursyid.

Dan hari ini, Pusat Pendidikan Islam An-Nur ingin mengajak orang ramai untuk sama-sama 'meninggalkan kesan tapak kaki' di sini dalam projek membaik pulih jalan utama memasuki kawasan sekolah dan surau. Dengan harapan, semoga setiap penginfaq dapat berkongsi bekalan yang pastinya akan mengalir selagi mana ada kaki-kaki kecil yang melangkah di sekolah ini dan selagi Surau Riyadussolihin ini subur dengan majlis yang bermanfaat.

Setiap seorang boleh menyumbang waqaf tunai berjumlah RM50 per kaki. Kos keseluruhan untuk projek baik pulih jalan utama ini berjumlah RM50,000.

Semoga apa yang kita infaqkan untuk projek Pusat Pendidikan Islam An-Nur ini akan menjadi bekalan dan pahala berpanjangan untuk kita.

Kalian boleh menghubungi pejabat sekolah di talian 088 230 584.

Pengerusi PPIAN, Encik Hambali Bin Saad 017 818 2728

Pengerusi Surau Riyadussolihin, Ustaz Muhammad Bin Suaid 019 812 1621

Mudir PPIAN, Ustaz Khusnul Hidayat Bin Hassan 019 509 1763

Monday, August 21, 2017

Pasar Tamu

Teks : Zainab Norazman
Foto : Ihsan Google
Entri #126


Baru-baru ini, saya menyampaikan hajat emak yang sudah lama tidak ke pasar tamu Putatan. Selalunya emak menolak ajakan.

Pagi itu seawal jam 6 pagi emak sudah bersiap-siap. Emak kata, banyak ikan segar-segar awal pagi pagi begini. Saya akur dan cepat-cepat siapkan sarapan pagi untuk suami dan anak di rumah.


Pasar tamu Putatan

Masa kecil dahulu, saya selalu ke pasar tamu Pekan Menggatal bersama emak. Menaikan bas prebet dari pondok bas depan kampung ke Pekan Menggatal. Di pasar, emak berjalan di hadapan dan saya membontoti emak sambil memegang bakul rotan temoat menyimpan barang-barang.

Hari ini, saya pula membawa emak dengan menaiki viva biru, si pujaan hati saya. Hehehe. Bezanya kini di Putatan. Dan kami merindui pasar tamu Pekan Menggatal dan pasar tamu Pekan Tuaran yang menjadi lokasi kami dahulu. Sejak berpindah ke Putatan ini, pasar tamu Putatan yang menjadi idaman hati.

Kebanyakan peniaga di sini menjual ikan segar dan sayur kampung  yang dipetik sendiri daripada hutan. Ada juga ikan ikan pula adalah hasil tangkapan sendiri. Bolehlah merasa ikan segar tanpa ubat pengawet.

Hari itu, saya membeli 2 kilo ikan ketambak, 2 kilo ikan lami-lami, sebungkus tiram, dan 2 kilo ikan bilis mata biru. Emak pula awal-awal sudah berpesan mahu mencari ubi kayu untuk dibuat tapai ubi.

Sambil membeli dari gerai ke gerai, emak sempat berpesan, "kalau membeli, jangan beli di satu gerai sahaja. Agih-agihkan rezeki kepada lain-lain penjual. Biar semua orang mendapat rezeki hari ini. Kasihan mereka, penat mereka menangkap ikan, mencari hasil jualan, kalau kita tidak habiskan jualan mereka, kasihan mereka."

Pada hari itu, emak gembira dapat ubi kayu dan juga kulat kodop
Kulat kodop daripada pokok yang sudah mati.
yang diidam-idamkan. Dan saya pula, tidak sabar menanti emak masakkan kulat kodop itu. Hehehem itulah air tanagn emak yang dirindui. Kalau dulu, kulat kodop itu kami kutip di dalam hutan pokok getah di belakang rumah. Kini, kami 'kutip' di pasar taku Putatan dengan bayaran RM10 dua mangkuk. Hehhe.

Cukuplah sekadar melepaskan rindu, emak akhiri bicara saat kereta viva biru masuk ke dalam pagar rumah.



Sunday, August 20, 2017

Semut

Teks : Zainab Norazman
Entri #124

Pernah orang kata pada Kak Nab, ibu ni umpama gula pada anak-anak. Anak-anak pula itu umpama semutnya. Ini bermakna, ibu dorang ni sweet lah sangat kan.

Mana tidaknya, ibu masak di dapur, ada juga 'ekor' yang membontot. Ibu jemur kain, pun jemr kain juga. Ibu baring-baring di ruang tamu, semua berulit dengan ibu. Ibu masuk bilik jahit, maka di sana juga mereka berkhemah.

Sorang baring bawah kerusi sambil baca buku. Yang budak cantik ni mesti di belakang ibu, tersepit di antara ibu dan belakang kerusi. Dan srang lagi habis barang dalam bilik jahit ni diterokai.

Mana barang yang ibu lama tidak jumpa, tiba-tiba masa itu jugak terkeluar dari tempat persorokan. (Eh, ada kah perkataan ni).

Haih la anak. Tunggulah kalian besar sikit, kita buat projek jahit sama-sama. Sorang ibu suruh gunting kain. Sorang jahit. Dan sorang lagi menyulam. Ibu pula duduk-duduk goyang kaki. Hehehe.

Zainab Norazman
Ibu 3 Anak Comel. Aisemen.

Masakan Air Tangan Ibu Sebagai Pengerat Kasih

Teks : Zainab Norazman
Foto : Zainab Norazman
Entri #123

Apabila perancangan pada hari itu kita tulis dengan teliti, secara tidak langsung pasti Allah bantu kita melaksanakan tugasan itu dengan teratur.

Cuti dua hari ini yang pastinya akan saya manfaatkan sungguh-sungguh untuk menjadikan ia masa yang berkualiti untuk anak-anak dan suami.

Waktu seminggu Isnin hingga Jumaat hanya menu ala kadar yang menjadi santapan makan malam. Mana tidaknya, berkejar balik kerja dan uruskan anak-anak pula waktu malam. Justeru, menu ringkas suri bekerja saja yang disediakan.

Maka waktu begini, kita raih sungguh-sungguh. Menyediakan menu kegemaran suami dan anak-anak pasti menjadi satu agenda dalam perancangan di hujung minggu. Bermula sarapan sehingga ke makan malam, semua dengan air tangan ibu. Walaupun kadangkala suami mengajak untuk makan-makan di luar.

Hari ahad begini, kami rancang untuk berehat di rumah. Bermula malam sabtu, tilam dan bantal sudah bersusun di ruang tamu. Hehehe. Ini sebenarnya kesukaan anak-anak. Walaupun di hujung minggu adalah masa untuk pembersihan menyeluruh, namun sesekali kami suka juga melepak dan tidur di ruang tamu. Maka segala bantal akan bersepah di ruang tamu. Petang ahad kami akan kemas dan kembali tidur di dalam bilik masing-masing.

Hari ini, awal sungguh siapkan makan tengahari. Alang-alang sudah berperang di dapur, terus siapkan segalanya. Rayyan paling gembira bila tengok ibu bakar ikan dan bagitahu nanti ibu letak sambal di atasnya. Itu kesukaan Rayyan. Boleh habis seekor ikan untuk dia seorang.

Sayur pucuk ubi masak lemak pula di letakkan di mangkuk khas untuk dia. Makan nasi sambil hirup kuah sayur tadi.

Bergembiralah hati ibu ini tatkala melihat anak-anak berselera makan ramai-ramai. Kakak Dania yang anti sayur, makan juga sesuap sayur dipaksa Rayyan.

Alhamdulillah ala kulli nikmat. Kegembiraan anak-anak itu sebenarnya terapi buat saya. Penat lelah semua hilang bila melihat kegirangan mereka. Suatu masa nanti, inilah detik yang bakal rindui.

Semoga Allah swt pelihara mereka dan sentiasa dalam kasih sayang Allah.

Menu hari ini. Ikan ketambak bakar, tuangkan sambal tumis. Terung bakar dan juga pucuk ubi masak lemak. Bertambah-tambah suami dan dan anak-anak makan. Alhamdulillah.


Zainab Norazman
Ibu kalian, anak.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...