Tulisan : Zainab Norazman
Imej : Koleksi peribadi
Entri #17
Bismillah pembuka entri. Saat kak nab menulis entri ini, badan sedang sengal-sengal bisa. Mungkinkah perjalanan jauh Kota Kinabalu ke Kundasang ke Ranau dan balik semula ke Kota Kinabalu agak memenatkan tubuh yang kian tua. Atau mungkin keletihan kerana menyediakan bekalan makanan pada malam sabtu sehingga 12 malam, menambahkan rasa keletihan itu.
Perjalanan ke Kundasang - Ranau adalah untuk memenuhi permintaan makcik Ina (adik bongsu mak yang sudah menetap di Klang) serta anak-anaknya merangkap adik saudara kak nab. Mereka mahu melihat lembu di Desa Farm dan merasai kolam air panas di Lohan, Ranau. Makcik Ina dan anak-anaknya sememangnya saban tahun pasti pulang ke Sabah demi menziarah nenek yang kian tua. Mengikat tali silatulrahim adalah amalan yang memanjangkan umur. Hadis ini adalah sahih, tapi pastinya kak nab yang jahil tidak pandai untuk menterjemahkan kefahaman itu. Maka kak nab ambil bahasa yang mudah untuk kita faham bersama.
Pada malam sabtu tersebut, kak nab menyediakan sambal bilis, ayam goreng berempah, goreng sosej jenama Ayamas serta bihun goreng yang digoreng pada subuh hari. Keluarga pakcik Agus (adik mak dan abang kepada makcik Ina) menyediakan buras dan sambal tumis. Ini adalah bekalan makanan bermula sarapan pagi dan makan tengahari sepanjang pergi dan balik.
Trip sekeluarga ini terdiri daripada Pakcik Agus, isteri dan empat orang anak, mak mertua pakcik Agus, kak nab bersama suami dan tiga orang anak serta mak kak nab, dan makcik Ina bersama tiga orang anak. Seramai 15 orang trip keluarga kami untuk kali ini.
Kami bertolak seawal pulul 7 pagi. Perjalanan Kota Kinabalu ke Kundasang - Ranau memakan masa selama dua jam sahaja. Boleh jadi tiga jam, boleh juga empat atau lima, bergantung perhentian. Kami tiba dia Kolam Air Panas pada jam 9.20. Alhamdulillah, masih ada belum ramai orang yang datang, dan masih ada ruang untuk kami "urap" tikar di bawah pokok, berdindingkan batu-batu besar.
Apalagi, sakanlah anak-anak dan anak saudara bermandi-mandi. Boleh pilih sama ada mahu mandi di kolam air panas atau kolam renang biasa tetapi airnya sangat sejuk. Jika tahan mandi kolam sejuk bak ais itu, silakan (hehehe).
Lebih kurang 3 jam di dalam kawasan Kolam Air Panas, kami mula mengemas untuk keluar. Waktu zohor hampir masuk waktu. Kami bercadang untuk tiba di Masjid Jamek Kundasang dan boleh solat zohor dan solat jamak asar ke dalam zohor sebelum memulakan perjalanan ke ladang ternak lembu (Desa Farm).
Kita merancang, Allah Maha Perancang. Seusai solat zohor, hujan turun dengan lebatnya. Angin sejuk kundasang bertambah-tambah sejuk bila hujan turun membasahi bumi Kundasang. Nampaknya, tiada rezeki untuk melihat pemandangan indah ladang lembu seperti di New Zealand itu. Tiada rezeki juga untuk minum susu segar dan makan ais krim susu yang lazat. Kami mengubah perjalanan untuk kembali bertolak ke Kota Kinabalu tepat jam 2 petang.
Begitu sebenarnya kehidupan kita. Kita merancang, tetapi Allah swt pasti ada rancangan yang baik untuk kita. Memberi kefahaman kepada anak-anak tentang ini bukan mudah juga. Anak-anak dan anak saudara sedang rasa seronok dengan angan-angan mahu pegang lembu. Mahu makan aiskrim susu Mahu mencuba memerah susu lembu. Mungkin rezeki di lain hari.
Kami tiba di rumah menghampiri jam 5 petang. Jalan yang basah dan licin menyebabkan kereta bergerak perlahan. Alhamdulillah. Syukur atas nikmat yang Allah kurniakan. Badan keletihan, namun ada sinar gembira di mata anak-anak dan anak saudara. Membawa sinar sang gunung kinabalu yang tersergam indah dengan kuasa Allah. Ia tidak takut akan ujian yang menimpanya, kerana ia yakin, ia berdiri di situ atas nama Allah swt.
No comments:
Post a Comment