Wednesday, March 18, 2015

DIDIK ANAK DALAM TEMPOH UMUR 7 TAHUN


اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
لا إله إلا أنت سبحانك إني كنت من الظالمين
Pendidikan anak2 mengikut pengalaman saya.
Dalam mendidik anak-anak, selalunya kita menganggap anak-anak yang kecil di bawah 7 tahun seolah-olah anak-anak itu ialah anak-anak yang tidak tahu apa-apa. Kita menganggap anak-anak yang kecil di bawah 7 tahun itu lebih pada mereka itu boleh bebas untuk melakukan apa saja.
Kadang-kadang kita juga menganggap mereka itu tidak boleh di pakai cakap mereka. Tidak boleh di guna cakap mereka.
Namun, apa yang saya lihat, anak-anak di bawah 7 tahun yang saya nampak, mereka adalah kanak-kanak yang sedang dibina diri mereka, akhlak mereka, ilmu mereka.. daripada apa yang mereka pelajari daripada umur mereka bayi hingga umur mereka 7 tahun.
Kanak-kanak di bawah 7 tahun, sedari bayi lagi, sedari seawal kita mengandung, kemudian daripada mereka bayi.. kemudian mereka membesar.. sebenarnya mereka sedang mengikut. Mereka adalah acuan kita daripada umur itu. Mereka dengar, mereka ikut dan mereka membentuk peribadi mereka, akhlak mereka daripada apa yang kita tarbiyahkan daripada dalam perut hingga ke 7 tahun.
Dan sewaktu mereka di bawah 7 tahun, mereka memang macam kanak-kanak yang ingin bermain, bermanja dan sebagainya. Tapi cuba kita lihat kelakuan & akhlak mereka benar-benar mengikut akhlak ibu bapa ataupun penjaga ataupun rakan sebaya.
Oleh itu, kanak-kanak di bawah 7 tahun... pendapat saya, seorang yang jahil.. saya tiada ilmu tentang pendidikan kanak-kanak, saya tiada kajian tentang kanak-kanak, tapi hasil pengalaman saya, di bawah 7 tahun ini kita kena mendidik mereka bukan dengan keadaan tegas, tapi daripada kelakuan kita, daripada akhlak kita.
Itu hanya, mereka belajar daripada kelakuan akhlak kita. Melalui perbuatan ibubapa dan sekeliling sehari hari.
contoh
Bila kita minum. Cuba lihat anak kita minum, adakah anak kita juga minum berdiri? Kenapa dia minum berdiri? Kerana ibubapanya minum berdiri. Mungkin kerana kawan-kawannya minum berdiri, ataupun adik-beradiknya minum berdiri dan tiada siapa melarang.
Begitu juga sebelum tidur. Bila kita nak tidur, kita biasakan dengan zikrullah. Kita biasa dengan tasbih dan dengan adab-adab tidur. Kita lihat mereka juga nak tidur melakukan benda yang sama. Sambil mereka bermain, mereka akan mempraktikkan apa yang kita ajar. Mereka tak perlu di suruh. Tapi mereka sedang meniru.
Sebenarnya mereka memang meniru kita. Daripada segi percakapan, perbuatan, bermain dan sebagainya. Sebab itu, kanak-kanak suka bermain masak-masak jika maknya juga suka memasak. Mereka menjerit-jerit jika maknya juga suka menjerit-jerit. Kanak-kanak suka memaki-maki jika mak bapak adik-beradik juga cakapnya suka memaki hamun.
Oleh itu, adalah satu kesilapan besar bagi kita jika kita mengabaikan masa mereka di bawah usia 7 tahun. Kitalah ibu bapa paling rugi bilamana kita melihat selepas usia 7 tahun mereka mula memberontak. Mereka mula menunjukkan aksi dan gaya serta akhlak yang kita tidak ajar kononnya. Tapi kita terlupa apa yang mereka buat semua itu adalah cermin kita.
Jika kita tidak menjaga di bawah usia 7 tahun, kemudian mereka meningkat hingga 10 tahun, usia 10 tahun mereka akan mula menunjukkan akhlak-akhlak itu. Dan bila mereka meningkat ke alam sekolah tingkatan 1 dan ke atas, kita akan nampak mereka akan sukar untuk dibentuk.
Jadi saya nasihatkan di sini, dan nasihatkan diri saya yang masih beranak kecil, hargai anak-anak di bawah 7 tahun. Bermain dengan mereka, bermain juga. Tapi akhlak kita, perbuatan kita dan amalan kita, kita kena jaga. Kita tak perlu bersusah payah untuk ajar anak solat. Saya melihat, saya tidak perlu mengajar anak saya untuk solat sebab dia tahu sendiri untuk solat daripada apa yang kita lakukan.
Sama juga, bilamana kita mengaji AlQuran. Memang kita perlu ajar anak mengaji AlQuran daripada mereka kecil lagi kita dah perkenalkan dengan AlQuran. Tapi tak perlu memaksa. Dengan sendirinya mereka akan mengambil AlQuran. Dan kemudian kita tinggal membentuk untuk makhraj, untuk memperbaiki sebutan-sebutan, hukum tajwid dan sebagainya.
Sayangnya usia di bawah 7 tahun anak-anak kebanyakannya dihantar kepada pengasuh. Di hantar ke taska. Yang kita tidak pasti, kita tidak tengok.., siapakah yang mengajar dan mendidik anak-anak kita.
Kita letak anak-anak kita ke pengasuh, ke taska dan sebagainya tanpa kita memikirkan bahawa kita sedang meletakkan harta yang paling bernilai di tangan orang yang belum tentu berakhlak.
Alangkah ruginya kita sebagai ibu, melepaskan tanggungjawab mendidik anak-anak di bawah 7 tahun itu. Mereka sedari kecil, selepas pantang, kita dah tinggalkan kepada pengasuh, tak kiralah siapa pengasuh itu.
Kemudian setelah sekolah, kita telah hantar mereka ke sekolah. Dan sepanjang anak-anak kita membesar bukan dengan tangan kita, bukan dengan akhlak kita, tapi dengan akhlak orang lain.
Maka ibubapa yang bekerja, saya nasihatkan di sini, jika boleh usahakanlah untuk kerja dalam rumah saja. Kenapa saya komen begini, kerana harta bagi saya adalah anak-anak. Dan apabila mereka membesar, kita akan merasakan kehilangan mereka.
Alhamdulillah, saya mendidik anak-anak daripada kecil. Saya memilih untuk tidak bekerja. Saya memilih untuk merasai kesukaran mendidik anak-anak sendiri.
Saya memilih untuk saya sendiri yang membentuk anak-anak. Saya memilih untuk hidup dengan apa yang ada sekadarnya sahaja. Kerana harta itu bernilai.
Dan kini saya memilih menyerahkan harta-harta saya itu berada jauh dari diri saya, sedang dibentuk untuk dibaiki oleh mereka yang lebih berkahlak dan berilmu. Agar dibentuk dan dibaiki kekurangan akhlak-akhlak yang telah saya ajar.
Sebab itu saya menggalakkan ibu-ibu untuk bekerja dari dalam rumah. Menceburi bidang perniagaan ataupun mempelajari ilmu jahitan langsir dan telekung yang saya ajar, dan buatlah bisnes dari dalam rumah.
Sebab apa? anak-anak di bawah 7 tahun itu adalah harta yang paling bernilai. Di situlah akhlak kita. Di situlah curahan kasih sayang kita. Di situlah pembentukan ilmu dan sebagainya.
Maaf jugak di sini, mungkin pendapat saya tidak betul. Cuma pendapat saya sebagai seorang ibu, di mana saya melihat pembesaran anak-anak, walaupun saya sendiri yang membentuk akhlak anak-anak, mendidik dan sebagainya, saya masih melakukan banyak kesilapan.
Apatah lagi jika saya menghantar kepada orang lain yang tentunya lagi banyak kesilapan. Saya tidak mengatakan saya lebih baik daripada orang lain. Tetapi ibulah yang terbaik buat anak-anak.
Oleh itu, jika mampu usahakanlah untuk hidup serba sederhana mungkin demi harta kita. Mungkin yang bekerja boleh ambil cuti tanpa gaji agar anak yang kita lahirkan dalam perut itu dibesarkan oleh kita sendiri, di tangan-tangan kita sendiri.
Dan yakinilah setiap anak tetap ada rezeqinya. Jika kita tidak mampu untuk pastikan yang berakhlak mulia mendidik anak anak kita, maka korbankanlah masa untuk mentarbiyah anak anak sendiri.
Anak anak memerlukan didikan akhlak dan ilmu daripada ibu bapa sendiri. InsyaAllah Bismillahi tawakkaltu a'laAllah.
****
Alhamdulillah akhirnya Allah SWT maqbulkan doa saya untuk menjadi ibu yang penyabar dan tidak Stress.
Dipinjamkan Haruman KD speechless scent untuk menenangkan saya saat mendidik anak.
Alhamdulillah juga pinjaman buat semua ibu ibu yang mahu tenang tanpa tekanan. Dapat bersabar dengan anak2 yang menaggis dan mengamuk.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...