Monday, August 28, 2017

Donut Untuk Kakak Yang Demam

Teks : Zainab Norazman
Foto : Zainab Norazman
Entri #131

Satu kelegaan saya apabila Kakak Dania diserang demam, dia boleh saja makan seperti biasa dia sihat. Malah macam-macam permintaan yang dibuat mengikut tindakbalas dari dalam perut ke saraf otak. Semalam minta ayah belikan pizza hut. Hari ini minta dibuatkan donut.

Mengikut teori dalam mikrobiologi, kini baru ditemui bahawa perasaan mahu makan macam-macam di kalangan ibu yang mengidam sebenarnya berkaitan dengan bakteria dari dalam perut. Bakteria itu yang hantar macam-macam signal melalui saraf-saraf dan diterima oleh otak.

Sama juga kalau orang demam. Selepas memusnahkan bakteria jahat, bakteria baik itu akan jadi bakteria baru dan buat kerja yang sama. Sebab itu juga, orang baru baik demam akan berasa mahu makan macam-macam. Begitulah alkisahnya.

Hari ini bercuti untuk merawat Kakak Dania pula. Lebih kurang 2 minggu ini dia demam sihat, demam semula. Kali ini agak kuat juga panas badannya.

Lalu, bila Kakak Dania kata mahu makan donat, emak cepat-cepat saja adunkan tepung bersama yis untuk dijadikan donat. Demi cucu, kata emak.

Apabila agak kembang, kami anak beranak pula ambil alih tugas menguli dan membuat gegelung donat. Berebut-rebut tangan halu buat bulat-bulat. Nasiblah kalau ada sebiji dua yang 'mati' yis dia nanti. hehehe

Yang paling cenonet itu adalah airtangan Rayyan.
Dan air tangan Fatehah sudah selamat menjadi
lempeng donat. Dia sudah pun jamu arnab, dora, teddy, butterfly dan haiwan peliharaan yang lain makan berjemaah.

Kalian, kita sama juga seperti proses membuat donat. Tepung itu dibeli dari kedai. Emak mengadun tepung menjadi doh donat. Menanti kembang, entah jadi atau tidak. Apabila sudah kembang, orang lain pula bantu selesaikan proses membuat gegelung donat.

Proses kita melalui setiap hikmah itu pelbagai rupa. Mungkin ujian menimpa kita. Atau ujian menimpa orang lain. Pasti ada saja Allah datangkan bantuan untuk menyelesaikan ujian itu.

Begitu sebaliknya.

Dan begitulah kehidupan.





Tuesday, August 22, 2017

Waqaf untuk Pusat Pendidikan Islam An-Nur

Teks : Zainab Norazman
Foto : Zainab Norazman
Entri #128


Poster waqaf untuk Pusat Pendidikan Islam An-Nur


Pusat Pendidikan Islam An-Nur (PPIAN) adalah sebuah sekolah bukan tajaan kerajaan. Namun berdaftar dengan JHEINS. Maka setiap inci perbelanjaan adalah atas tanggungan sendiri daripada 'pelaburan yuran' yang dibayar oleh ibu bapa pelajar dan juga atas infaq orang ramai.

PPIAN merupakan sebuah Sekolah Rendah Islam (SRI) antara yang terawal ditubuhkan di Sabah, iaitu pada tahun 2012. Dengan moto penubuhan sekolah "Membina Generasi Al Quran Terbilang Insan Cemerlang, sekolah ini mempunyai matlamat yang tinggi dalam melahirkan para tahfiz yang berakhlak mulia, serba boleh dan berketerampilan. Serta melahirkan anak bangsa Kota Kinabalu yang cemerlang akademik dan juga hafaz Al Quran.

Memandangkan sekolah ini menjadi tumpuan ibu bapa, maka setiap tahun akan wujud persaingan yang sangat sengit untuk merebut sebuah kerusi untuk anak-anak di dalam kelas. Ehh, bukan merebut kerusi DUN sahaja ya.

Suasana sekolah ini sangat jauh berbeza. Seawal 6.30 pagi, kehadiran anak-anak akan disambut dengan alunan zikir yang menyejukkan hati. Memulakan sesi persekolahan dengan solat sunat dhuha, bacaan Al Mathurat, bacaan Yaasin dan juga bacaan Al Quran. Pendek kata, anak-anak akan dididik, diajar dan ditarbiyah umpama sehari hidup dengan sunnah Rasullah SAW.

Keriuhan suara anak-anak yang belajar ilmu akhlak tauhid feqah bertambah pada sesi petang dengan kehadiran anak-anak SAR yang memulakan sesi pembelajaran bermula jam 2 petang sehingga 5 petang.

Bersebelahan kawasan sekolah, sebuah surau kecil yang berkhidmat sebagai tempat anak-anak sekolah menunaikan solat secara berjemaah. Juga berbakti untuk ahli jemaah surau yang aktif dengan pelbagai majlis ilmu di kalangan para asatizah dan ulama yang mursyid.

Dan hari ini, Pusat Pendidikan Islam An-Nur ingin mengajak orang ramai untuk sama-sama 'meninggalkan kesan tapak kaki' di sini dalam projek membaik pulih jalan utama memasuki kawasan sekolah dan surau. Dengan harapan, semoga setiap penginfaq dapat berkongsi bekalan yang pastinya akan mengalir selagi mana ada kaki-kaki kecil yang melangkah di sekolah ini dan selagi Surau Riyadussolihin ini subur dengan majlis yang bermanfaat.

Setiap seorang boleh menyumbang waqaf tunai berjumlah RM50 per kaki. Kos keseluruhan untuk projek baik pulih jalan utama ini berjumlah RM50,000.

Semoga apa yang kita infaqkan untuk projek Pusat Pendidikan Islam An-Nur ini akan menjadi bekalan dan pahala berpanjangan untuk kita.

Kalian boleh menghubungi pejabat sekolah di talian 088 230 584.

Pengerusi PPIAN, Encik Hambali Bin Saad 017 818 2728

Pengerusi Surau Riyadussolihin, Ustaz Muhammad Bin Suaid 019 812 1621

Mudir PPIAN, Ustaz Khusnul Hidayat Bin Hassan 019 509 1763

Monday, August 21, 2017

Pasar Tamu

Teks : Zainab Norazman
Foto : Ihsan Google
Entri #126


Baru-baru ini, saya menyampaikan hajat emak yang sudah lama tidak ke pasar tamu Putatan. Selalunya emak menolak ajakan.

Pagi itu seawal jam 6 pagi emak sudah bersiap-siap. Emak kata, banyak ikan segar-segar awal pagi pagi begini. Saya akur dan cepat-cepat siapkan sarapan pagi untuk suami dan anak di rumah.


Pasar tamu Putatan

Masa kecil dahulu, saya selalu ke pasar tamu Pekan Menggatal bersama emak. Menaikan bas prebet dari pondok bas depan kampung ke Pekan Menggatal. Di pasar, emak berjalan di hadapan dan saya membontoti emak sambil memegang bakul rotan temoat menyimpan barang-barang.

Hari ini, saya pula membawa emak dengan menaiki viva biru, si pujaan hati saya. Hehehe. Bezanya kini di Putatan. Dan kami merindui pasar tamu Pekan Menggatal dan pasar tamu Pekan Tuaran yang menjadi lokasi kami dahulu. Sejak berpindah ke Putatan ini, pasar tamu Putatan yang menjadi idaman hati.

Kebanyakan peniaga di sini menjual ikan segar dan sayur kampung  yang dipetik sendiri daripada hutan. Ada juga ikan ikan pula adalah hasil tangkapan sendiri. Bolehlah merasa ikan segar tanpa ubat pengawet.

Hari itu, saya membeli 2 kilo ikan ketambak, 2 kilo ikan lami-lami, sebungkus tiram, dan 2 kilo ikan bilis mata biru. Emak pula awal-awal sudah berpesan mahu mencari ubi kayu untuk dibuat tapai ubi.

Sambil membeli dari gerai ke gerai, emak sempat berpesan, "kalau membeli, jangan beli di satu gerai sahaja. Agih-agihkan rezeki kepada lain-lain penjual. Biar semua orang mendapat rezeki hari ini. Kasihan mereka, penat mereka menangkap ikan, mencari hasil jualan, kalau kita tidak habiskan jualan mereka, kasihan mereka."

Pada hari itu, emak gembira dapat ubi kayu dan juga kulat kodop
Kulat kodop daripada pokok yang sudah mati.
yang diidam-idamkan. Dan saya pula, tidak sabar menanti emak masakkan kulat kodop itu. Hehehem itulah air tanagn emak yang dirindui. Kalau dulu, kulat kodop itu kami kutip di dalam hutan pokok getah di belakang rumah. Kini, kami 'kutip' di pasar taku Putatan dengan bayaran RM10 dua mangkuk. Hehhe.

Cukuplah sekadar melepaskan rindu, emak akhiri bicara saat kereta viva biru masuk ke dalam pagar rumah.



Sunday, August 20, 2017

Semut

Teks : Zainab Norazman
Entri #124

Pernah orang kata pada Kak Nab, ibu ni umpama gula pada anak-anak. Anak-anak pula itu umpama semutnya. Ini bermakna, ibu dorang ni sweet lah sangat kan.

Mana tidaknya, ibu masak di dapur, ada juga 'ekor' yang membontot. Ibu jemur kain, pun jemr kain juga. Ibu baring-baring di ruang tamu, semua berulit dengan ibu. Ibu masuk bilik jahit, maka di sana juga mereka berkhemah.

Sorang baring bawah kerusi sambil baca buku. Yang budak cantik ni mesti di belakang ibu, tersepit di antara ibu dan belakang kerusi. Dan srang lagi habis barang dalam bilik jahit ni diterokai.

Mana barang yang ibu lama tidak jumpa, tiba-tiba masa itu jugak terkeluar dari tempat persorokan. (Eh, ada kah perkataan ni).

Haih la anak. Tunggulah kalian besar sikit, kita buat projek jahit sama-sama. Sorang ibu suruh gunting kain. Sorang jahit. Dan sorang lagi menyulam. Ibu pula duduk-duduk goyang kaki. Hehehe.

Zainab Norazman
Ibu 3 Anak Comel. Aisemen.

Masakan Air Tangan Ibu Sebagai Pengerat Kasih

Teks : Zainab Norazman
Foto : Zainab Norazman
Entri #123

Apabila perancangan pada hari itu kita tulis dengan teliti, secara tidak langsung pasti Allah bantu kita melaksanakan tugasan itu dengan teratur.

Cuti dua hari ini yang pastinya akan saya manfaatkan sungguh-sungguh untuk menjadikan ia masa yang berkualiti untuk anak-anak dan suami.

Waktu seminggu Isnin hingga Jumaat hanya menu ala kadar yang menjadi santapan makan malam. Mana tidaknya, berkejar balik kerja dan uruskan anak-anak pula waktu malam. Justeru, menu ringkas suri bekerja saja yang disediakan.

Maka waktu begini, kita raih sungguh-sungguh. Menyediakan menu kegemaran suami dan anak-anak pasti menjadi satu agenda dalam perancangan di hujung minggu. Bermula sarapan sehingga ke makan malam, semua dengan air tangan ibu. Walaupun kadangkala suami mengajak untuk makan-makan di luar.

Hari ahad begini, kami rancang untuk berehat di rumah. Bermula malam sabtu, tilam dan bantal sudah bersusun di ruang tamu. Hehehe. Ini sebenarnya kesukaan anak-anak. Walaupun di hujung minggu adalah masa untuk pembersihan menyeluruh, namun sesekali kami suka juga melepak dan tidur di ruang tamu. Maka segala bantal akan bersepah di ruang tamu. Petang ahad kami akan kemas dan kembali tidur di dalam bilik masing-masing.

Hari ini, awal sungguh siapkan makan tengahari. Alang-alang sudah berperang di dapur, terus siapkan segalanya. Rayyan paling gembira bila tengok ibu bakar ikan dan bagitahu nanti ibu letak sambal di atasnya. Itu kesukaan Rayyan. Boleh habis seekor ikan untuk dia seorang.

Sayur pucuk ubi masak lemak pula di letakkan di mangkuk khas untuk dia. Makan nasi sambil hirup kuah sayur tadi.

Bergembiralah hati ibu ini tatkala melihat anak-anak berselera makan ramai-ramai. Kakak Dania yang anti sayur, makan juga sesuap sayur dipaksa Rayyan.

Alhamdulillah ala kulli nikmat. Kegembiraan anak-anak itu sebenarnya terapi buat saya. Penat lelah semua hilang bila melihat kegirangan mereka. Suatu masa nanti, inilah detik yang bakal rindui.

Semoga Allah swt pelihara mereka dan sentiasa dalam kasih sayang Allah.

Menu hari ini. Ikan ketambak bakar, tuangkan sambal tumis. Terung bakar dan juga pucuk ubi masak lemak. Bertambah-tambah suami dan dan anak-anak makan. Alhamdulillah.


Zainab Norazman
Ibu kalian, anak.

Thursday, August 17, 2017

Hujan

Teks : Zainab Norazman
Foto : Zainab Norazman
Entri #119

Sudah 5 hari hujan turun. Kebanyakan kawasan rendah dinaiki air. Lebih sedih lagi, terdapat rumah kawan-kawan yang dibanjiri air sehingga ke hari ini. Apa daya diri ini, hanya mampu mendoakan kalian semua dipermudahkan uusan membersihkan nanti.

Hujan. Turun mu membawa rahmat ke sekian alam. Membawa rahmat daripada Tuhan. Manusia perlukan air. Haiwan memerlukan air. Tumbuhan juga berharap kepada air. Tanah juga sama.

Syukur ke hadrat Allah. Suami dan anak-anak sudah beransur sembuh. Suami sudah mula bekerja hari ini. Tinggal anak-anak bersama emak di rumah. Emak lagi suka jika anak-anak ada di rumah. Terhibur dengan gelagat Fatehah yang manja dengan nenek.

Alhamdulillah, rezeki Allah itu sentiasa ada. Seawal pagi sahabat hantarkan pesanan ringkas. Kakak ada masak bubur ayam pagi ini. Tidak perlu bawa sarapan ya.

Kempunan sebab tidak sempat jamah bubur semalam, Allah gantikan dengan bubur lazat air tangan sahabat.

Buat kalian, maafkan saya. Belum sempat menyaji 'sarapan' baru. Hanya sempat nukilan hati ini sahaja.

Hujan masih renyai-renyai di luar cermin pejabat. Sejuknya terasa hingga ke tulang.

Zainab Norazman
Hujan. Sejuk. Rahmat.

Wednesday, August 16, 2017

Dilema Ibu Yang Bekerja

Teks : Zainab Norazman
Foto : Google
Entri #118








Hari ini, saya seorang sahaja yang bersiap-siap di awal pagi. Bangun subuh tadi, suami kata tak larat mahu ke pejabat pagi ini. "Anak-anak pun tak sihat, ibu seorang saja ya pergi kerja. Nanti abang bawa anak-anak pergi klinik dan dapatkan cuti sakit untuk anak-anak. Ibu tolong maklumkan guru kelas mereka ya." Serta-merta saya pegang kepala suami. Kepala panas dan suara sudah berubah garau.


"Mahu ayang cuti hari ini?"


"Eh tidak mengapa. Ayang pergi kerjalah. Abang boleh jaga diri dan anak-anak"


Allahurobbi. Saya masih dalam dilema. Memandangkan semalam sudah bercuti, maka gagah juga berangkat ke tempat kerja. Hanya sempat masakkan bubur nasi sebagai sarapan mereka.


Jam 9 pagi tadi, suami hantarkan pesanan di kotak whatsapp. "Ibu, ayah dan anak-anak baru sampai rumah ni. Sudah dari klinik tadi. InshaAllah, nanti abang bagi anak-anak makan ubat dan kami tidur dan berehat".


Ada kelegaan seketika di dalam hati ini.

Hati mana yang akan tenang apabila anak-anak semua demam batuk di rumah. Menyiapkan kerja di pejabat pun asyik mahu cepat saya. Nampaknya hari ini perlu cepat-cepat sampai di rumah.

Semoga sahaja suami dan anak-anak bertambah sihat seperti selalu.

Dalam situasi begini, selalu saja hati seorang ibu berdoa, "Ya Allah, hilangkan kesakitan pada anak-anak, beri saja sakit itu kepada diri ini". Begitu monolog di dalam hati.

Apalagi bagi seorang ibu yang perlu keluar bekerja untuk membantu ekonomi rumahtangga. Ada masa-masanya, kita perlu berkorban antara dua perkara.

Namun, kita tetap akur dengan ketentuan Allah. Allah pasti akan izinkan hari dan waktu yang tepat untuk itu.



Kata-kata ini memujuk hati.



 

Tuesday, August 15, 2017

Sulaman Sebagai Sumber Pendapatan

Teks : Zainab Norazman
Foto : Zainab Norazman
Entri #115

Bermula dengan takdir Allah swt. Bertukar kepada minat dan jatuh cinta. Dalam tidak disangka, rupanya ia membawa satu punca rezeki untuk anak-anak. Ya, pada awal niat saya pergi belajar menjahit di Kelas Jahit Al Mujahid di Shah Alam, sebenarnya adalah untuk mencari sumber pendapatan lain yang boleh menjadikan saya seorang suri rumah yang bekerja dari rumah. Menjahit dan menyulam sambil berkhidmat untuk suami dan anak-anak. Begitu hajat dan azam. Dan saya masih sentiasa berdoa untuk itu. Saya mohon doa kalian juga.

Berbalik kepada cerita menyulam. Alhamdulillah, hari berganti hari, saya mula menerima tempahan sulaman daripada rakan sepejabat dan pastinya rakan-rakan di facebook. Ya begitulah, facebook mempunyai kuasa pengiklanan yang membantu para peniaga online.

Antara hasil sulaman saya yang berjaya menjadi produk jualan ialah, tempahan sulam tuala perkahwinan, sulam tuala kanak-kanak, sulam tuala tuning, majlis-majlis, sulam keychain comel dan yang paling mendapat tempat ialah sulam nametag sekolah.

Pada tahun lepas, saya menerima tempahan daripada dua buah sekolah. Beratus-ratus nametag yang disulam yang perlu disiapkan sebelum sesi persekolahan 2017 bermula.

Alhamdulillah 'ala kullu nikmat. Sesugguhnya, Allah swt yang Maha Memberi Nikmat.

Tempahan Sulam Nametag Sekolah



Sulam Nametag Sekolah SK Rugading
Sulam Nametag SM(P) Likas
Sulam Nametag PPIAN


Proses menyulam tuala perkahwinan menggunakan mesin sulam berkomputer


Sulam tuala perkahwinan

Sulam tuala kanak-kanak



Sulam tuala majlis

Sulam tuala perkahwinan


Belajar Dari Sekolah Yang Bernama Pengalaman

Teks : Zainab Norazman
Foto : Zainab Norazman
Entri #112

Gambar hiasan : Mungkinkah Fatehah mahu mengutip pengalaman ibu?


"Jangan takut jatuh, karena yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh. Jangan takut gagal, karena yang tidak pernah gagal hanyalah orang yang tidak pernah melangkah. Jangan takut salah, karena dengan kesalahan yang pertama kita dapat menambah pengetahuan unutk mencari jalan yang benar pada langkah kedua".

Kata-kata keramat Buya Hamka menyerikan pagi hari. Hari ini saya bercuti untk fokus kepada penulisan. Terasa semakin seronok pula mahu menulis di dalam blog ini.

Duduk bersendirian di dalam perpustakaan ini, membuka banyak memori zaman kecil saya. Saya yang suka bersendiri, juga suka berdikari. Berbanding kawan-kawan yang lain.

Sejak di bangku sekolah rendah lagi, saya suka bekerja di waktu cuti sekolah. Mungkin disebabkan kesusahan emak dan bapa waktu itu, saya seboleh mungkin akan menggunakan waktu cuti sekolah panjang dengan mencari wang poket untuk beli baju dan kasut sekolah.

Seingat saya, saya mula bekerja sewaktu cuti sekolah darjah 5. Awalnya, saya membantu Makcik Mas di kedai jahitnya. Membantu kerja-kerja yang ringan seperti seterika baju siap, jahit sembat hujung lengan baju kurung. Lama kelamaan, saya diberikan kepercayaan untuk menjahit tepi baju. Pun begitu, ada juga tepi baju yang saya terlebih potong. Marah juga Makcik Mas. Namun itu semua pengalaman.

Cuti sekolah mahu naik ke tingkatan 1 pula, saya mula membantu Babu Siah pula. Waktu itu, Makcik Mas sudahpun berhijrah ke Kuala Lumpur. Babu ialah panggilan makcik di Sabah. Maka bermulalah episod saya bekerja di kedai jahit Babu Siah pula. Tugasan di sini lebih kurang sama semasa membantu Makcik Mas dulu. Lebih kurang sebulan cuti sekolah hujung tahun, maka cukup juga duit saya membeli kasut sekolah dan kain baju sekolah. Upah menjahit baju sekolah ditaja oleh Babu Siah. Hehehe.

Menginjak ke sekolah menengah, saya memilih untuk memasuki kelas Kemahiran Hidup dalam Ekonomi Rumah Tangga. Di sinilah saya mula belajar asas jahitan dengan lebih terperinci. Pengalaman bermain dengan benang dan jarum zaman sekolah rendah memudahkan saya untuk menerokai bidang ini dengan lebih dalam.

Kemuncak keyakinan saya bermain dengan mesin jahit pula bermula semasa cuti sekolah tingkatan 4. Masa itu saya mahu mengumpul duit poket untuk membayar yuran tingkatan 5 dan yuran SPM nanti. Maka cuti sekolah itu saya mencuba-cuba mengikut jiran sebelah rumah untuk bekerja. Ya, masih di bawah umur, namun taukeh cina itu menerima saya untuk menjahit langsir di kilang. Butik langsir majikan saya ini terletak di Damai Luyang. Saya dan jiran saya pula bekerja di kilang di Inanam, tidak jauh dari rumah kami. Hanya perlu menaiki bas dengan tambang 50 sen sahaja waktu itu.

Secara asasnya, saya hanya boleh menjahit lurus sahaja. Namun minggu pertama bekerja, taukeh cina itu terus sahaja berikan saya langsir yang telah dipotong untuk disiapkan. Terkebil-kebil saya memandang mesin jahit industri di hadapan saya dan 5 keping kain langsir untuk dijahit.

Lagi sekali saya belajar menjahit cara 'brutal'. Tunjuk sekali, dan kau jahitlah sampai siap. Mahu menangis pun tidak berguna. Siapa suruh pergi kerja dengan cina. Hehehe.

Sebulan saya bekerja di kilang menjahit langsir itu, macam-macam pengalaman yang saya belajar. Belajar tentang jenis-jenis penyangkut langsir. Belajar jahit bantal bentuk tulang untuk letakkan kepala di kerusi kereta. Pernah sekali saya diminta menjahit tilam PVC sebesar saiz tilam single. Masukkan pula fiber ke dalam tilam, dan jahit penutup dengan jahitan tangan. Waktu itu pun saya menangis tidak berlagu juga.

Namun, pengalaman ini sangat seronok bagi saya. Belajar bekerja di bawah majikan cina sebenarnya banyak mendidik saya untuk berjiwa kental dalam apa jua situasi. Mereka memulakan perniagaan tanpa ilmu juga. Kegigihan mereka menjadikan mereka pakar dalam bidang yang mereka ceburi. Mereka juga berani menanggung risiko mengambil saya dengan bekal yang ciput. Tapi lantaran kepercayaan yang mereka berikan kepada saya, alhamdulillah saya mampu siapkan langsir dengan sekali ajar.

Paling bahagia apabila saya berjaya mengumpulkan duit gaji sebanyak RM600 dengan tambahan RM100 sebagai wang belanja sekolah oleh tauke cina itu.

Zainab Norazman
Pengalaman itu membawa aku ke sini.


Sunday, August 13, 2017

Rutin Bahagia Sebagai Suri Di Rumah

Teks : Zainab Norazman
Foto : Zainab Norazman

Entri #111

Sebagai suri yang bekerja, hari cuti sabtu dan ahad adalah hari yang sangat membahagiakan. Hari yang akan ada perancangan yang terperinci yang dimanfaatkan bersama suami dan anak-anak. Hari yang juga diselitkan hari bersosial dan bermasyarakat dengan program jemaah juga pengisian majlis ilmu. Hari yang sangat letih dan memenatkan sebanarnya. Perlu berbahagi kasih antara masa di rumah dan juga korban masa untuk ummah. Namun dua hari penuh makna itulah hari yang paling membahagiakan.

Seawal selepas subuh, saya mulakan dengan membersihkan rumah ala kadarnya. Minimumkan dan memaksimakan. Begitulah tip yang saya amalkan saban hari. Bersihkan rumah ala kadarnya ikut sedap mata memandang. Siap itu, cepat-cepat siapkan sarapan pagi untuk keluarga. Sarapan yang ringkas namun dimasak penuh zikir dan kasih.

Dalam taujihat seorang sahabat asatizah, fungsi dapur selain daripada menyediakan masakan yang lazat untuk keluarga. Fungsi dapur juga sebenarnya mempunyai amanah yang besar dalam melahirkan ummah yang soleh solehah. Iaitu dengan menyediakan makanan yang terbaik yang penuh zikir dan doa buat anak-anak yang makan. Makanan itulah yang akan menjadi darah daging dalam tubuh anak-anak kita nanti.

Untuk sabtu atau ahad, salah satu harinya suami izinkan saya untuk keluarga mengikuti program muslimat. Sekiranya suami tiada urusan luar rumah, anak-anak akan bersama suami. Mengisi masa mereka bersama. Jika suami ada urusan di luar, anak-anak akan dibawa bersama berprogram. Itu juga boleh jadi tarbiyah pertama untuk anak-anak belajar bahawa diri mereka kelak perlu keluar untuk membuat kerja-kerja kepada ummah.

Selain daripada berprogram, masa terluang di hari cuti begini pastinya untuk keluarga. Ada sahaja aktiviti yang akan dilakukan bersama-sama.

Antara pengisian yang boleh dilakukan untuk mengisi masa bersama keluarga ialah :


  1. Hari mengemas rumah bersama-sama suami dan anak-anak. Bagi suami isteri yang bekerja, mungkin tidak sempat untuk bersihkan rumah saban minggu. Maka jika ada masa terluang melepak di rumah, maka hari itu juga akan dipilih sebagai hari 'split-cleaning' membersihkan rumah dan kawasan laman. 
  2. Sesekali membawa anak-anak berjalan-jalan juga boleh dijadikan sebagai kualiti masa bersama keluarga. Kedai wajib ialah Kedai Buku Popular. Melepak mencari buku sampai berjam-jam. Anak-anaklah yang paling bahagian. Ibu bahagia juga sebab dapat buku. Ayah bahagia sebab dapat belanja beli buku hehehe.
  3. Dalam sebulan, pasti ada waktu yang diperuntukkan untuk pulang ke kampung menziarahi nenek. Berkumpul bersama keluarga untuk melepaskan kerinduan. 
  4. Hadiri majlis ilmu bersama-sama. Bab ini suamilah yang arif. Selalunya kami suka hadiri majlis ilmu di Masjid AL Hikmah, Bukit Padang ataupun kuliah dhuha di SUrau Riyadussolohin Austral. Surau tempat kami selalu merewang dan bermakan-makan hehehe.
  5. Seperti hari ini, kami melepak di perpustakaan UTC. Anak-anak sakan membaca buku. Saya sakan siapkan tugasan blog.
Begitulah rutin kami. Ada masa tertentu juga kami gemar pergi ke taman rekreasi. Keurkan peluh sambil makan jagung rebus. Eh! Joging dalam masa yang sama makan-makan jajan. Hehehe. Jajan kacang rebus saja.

Itulah kebahagaian kan?

Zainab Norazman
Travelog Suri



 


Friday, August 11, 2017

Separuh Kopi Ayah, Separuh Saya Minum

Teks : Zainab Norazman
Foto : Google

Entri #109

Gambar ihsan google. Secawan kopi o sebagai kenangan.


Syukur Allah. Petang ini hujan turun dengan lebatnya. Guruh berdentum kuat.

Masih teringat dalam benak ini. Apabila hujan lebat begini, riuhlah kami adik beradik bermandi hujan di hadapan rumah papan berwarna hijau. Sengaja pula mencari punca air hujan turun yang paling banyak melalui saluran air di atas zink. Sakit juga air hujan itu menyimbah ke kepala. Tapi keseronokan mengatasi segalanya.

Seusai bermandi hujan, emak menghidang sepinggan cekodok ikan bilis bersama kopi panas. Menikmati minum petang di beranda rumah. Yang pastinya, saya tidak minum kopi dari gelas sendiri. Saya akan tunggu arwah bapa minum kopi hingga separuh, separuh lagi akan dihulurkan kepada saya. Begitulah selalu.

Kerinduan buat arwah bapa kadang-kadang menjengah ke hati. Semoga Allah swt mengampun dosa-dosanya. Melapangkan kuburkan, menjadikan kuburnya seperti taman-taman syurga. Damailah bapa di sana.

Zainab Norazman
Hujan inj mendamaikan rasa.

Cita-cita Surirumah Adalah Cinta

Teks & Foto : Zainab Norazman
Entri #107


Usai solat maghrib berjemaah bersama anak-anak. Kebiasaannya kami akan membaca Al Quran sambil saya akan tasmik hafazan anak-anak. Namun hari itu sesi mengaji Al Quran sekejap sahaja. Nampak anak-anak agak letih dan banyak bermalas-malasan. Sebagai ibu yang penyayang (aisemen), saya memberi mereka ruang untuk bermain malam itu.


Fatehah si bongsu sudah mula mengajak ibu untuk jadi Bam Bam Gajah Hebat seperti dalam watak Didi & Friends.


Rayyan mulakan cerita. "Ibu, pagi tadi kami belajar tentang cita-cita. Rayyan mahu jadi polis dan bomba"


"Eh. Mana boleh buat dua kerja". saya mencelah.


Kakak pula menyampuk, "Bukan bah ibu. Rayyan tu polis tapi kerja part time bomba".


"Boleh pula macam tu ya?" Saya buat-buat berkerut muka.


Rayyan cepat-cepat menegaskan semula, "Bolehlah bah ibu. Macam ibu tu. Pagi pergi kerja pejabat. Malam ibu dalam bilik jahit saja." Gulp. Sempat saya menelan air liur.


Rayyan menyoal saya, "Ibu pula, apa cita-cita ibu?"


"Hmmm. Ibu ni sebenarnya mahu jadi surirumah saja. Pagi-pagi boleh siapkan sarapan sebelum ayah dan korang semua keluar pergi sekolah. Lepas tu ibu boleh kerja-kerja menjahit dan menyulam dari rumah. Petang sebelum ambil anak-anak ibu balik sekolah, makan malam semua sudah tersedia. Jadi malam ibu boleh manja-manja dengan ayah dan korang semua la. Ibu tidak tekanan. Ibu tidak marah-marah sebab penat."


"Hiissh ibu ni. Itu bukan cita-cita. Itu kan kerja wajib di rumah"
.
.
.
.
.
Duhai anak. Jikalah kalian tahu walaupun ia bukan cita-cita, namun itu adalah cinta ibu.


Menjadi azam dan harapan setiap ibu itu agar mereka boleh korban semua masa dan tenaga mereka untuk suani dan anak-anak. Menjadi impian seorang ibu itu agar pengurusan rumah tangga itu sempurna. Menjadi impian ibu ini agar menjadi suri di rumah yang boleh menjadi superwomen hanya untuk suami dan anak-anak di rumah sahaja.


Rumah itu adalah syurga bagi ibu.


Begitulah impian di hati.
.
.
.
.
.
"Ibuuu. Ibuu. Fatehah boleh mahu jadi arnab yang comel. Ehh tak lah. Rama-rama yang cantik. Boleh ibu?"


Zainab Norazman
Traveog Hati Seorang Suri


Tiga cinta hati ibu.







Wednesday, August 9, 2017

Mendidik Hati Dalam Mendidik Anak

Teks : Zainab Norazman
Entri #104

Ada suatu hari itu, aku berasa teramat marah pada Kakak Dania. Balik saja daripada sekolah, tanpa membuka pakaian sekolah, terus saja dia mengambil buih sabun yang sudah diadun malam sebelumnya. Mengambil penyedut minuman dan bermain belon sabun di ruang tamu.

Kakak Dania tiup dan buih biuh belon berterbangan. Rayyan dan Fatehah riang cuba menangkap dan memecahkan buih buih belon.

Dalam penat balik dari kerja, perkara begitu betul-betul mengundang perasaan hilang sabar. Sudah awal awal aku berpesan, balik sekolah kita rehat-rehat sebentar. Bersihkan badan. Siap-siap untuk solat maghrib. Ya, sampai rumah saja sudah jam 5.30 petang. Ada masa sejam saja sebelum waktu maghrib.

Sempat juga membebel sebentar. Hampir-hampir rambut mak singa berdiri tegak dan mengeluarkan api amarah.

Sesungguhnya kalimah Allah itu penuh dengan mukjizatnya. Cepat cepat istighfar panjang. Tarik nafas hembus nafas. Sebelum keluar pejabat tadi sudah cakap pada diri. Tiada marah-marah. Yang ada hanya senyum senyum saja pada anak. Teringat lagi ayat ini, "anak anak tidak selamanya kecil, peluk dan belai mereka dengan penuh kasih dan sayang."

Ya itu betul betul ayat pendamai jiwa. Rasa kembali tenang dan damai. Melihat mereka ketawa, bersorak riang, melompat dan menangkap buih buih sabun, hilang segala penat lelah bekerja sehari. Musnah semua amarah yang hampir meracuni diri. Bagai buih-buih yang berterbangan itu, dengan lemah lembut terbang mengikut irama angin petang yang damai.

Damai itu membawa aku mengenang zaman kecilku di Kampung Gudon Menggatal. Saban petang, berlari balik dari Kelas Kafa. Baling saja bahai plastik (bakul plastik pasar) yang berisi buku latihan dan pensil di tepi pintu rumah. Baling tudung. Dan terus berlari mendaki bukit untuk sampai ke kawasan lapang tempat kami bermain. Bermain engkek-engkek (ting-ting), atau bermain galah. Ya, habis comot baju putih kain hijau itu dengan tanah dan lumpur.

Hari ini, kadang panjang memikirkan proses anak-anak yang sedang membesar ini. Kita dahulu mak bapa biar saja bermain pusing satu kampung, sehari suntuk, tanpa perlu risau pun. Apabila kita jadi emak bapa hari ini, balik runah dan biar anak terkurung dalam pagar besi yang sentiasa tertutup. Mungkin ada sesetengah kawasan perumahan yang masih selamat untuk biarkan anak bermain dengan anak jiran sebelah rumah. Tidak bagi perumahan di kawasan bandar besar.

Sebagai mak ayah, kitalah yang perlu memainkan peranan dalam mencari satu aktiviti yang membantu anak anak menggunakan daya fikir dan perkembangan mental dan emosi anak. Agar dunia mereka boleh diterokai dengan seronok sejajar dengan zamannya.

Mungkin mereka tidak lagi bermain lumpur dan mencari buah masuk hutan. Tidak merasa terjun sungai dan balik rumah kena sebat dengan gayung mandi.

Namun bukan itu alasannya kita mahu memberi lesen kepada anak untuk 'teroka dunia tanpa sempadan' hari ini.

Sabda Rasulullah SAW:  "Ajarilah anak-anakmu sesuai dengan zamannya, kerana mereka hidup di zaman mereka bukan pada zamanmu. Sesungguhnya mereka diciptakan untuk zamannya, sedangkan kalian diciptakan untuk zaman kalian".

Pasakkan anak-anak dengan ilmu agama. Tarbiyah anak dengan ilmu akhirat. Fahamkan anak dengan Al Quran dan Hadis. Hanya dengan berpegang dengan agama, anak-anak akan selamat di dalam dunianya.

Zainab Norazman
Ibu yang berharap mampu tumpahkan kasih sayang itu kerana Allah.

Monday, August 7, 2017

Ulasan Buku - One Way Ticket

Teks & foto : Zainab Norazman
Entri #103



Buku ini ditulis oleh Ustaz Safwatullah Bin Mohd Fadli. Seorang pendakwah bebas yang sangat arif meraihkan orang-orang yang baru kenal apa itu Islam.

Hati saya sangat tertarik dengan buku ini kerana ia seolah jentikan hati daripada Allah swt. Sebagai merawat hati yang terlalu bersenang-senang dengan nikmat yang diberikan. Hati yang merasakan bahagia diberikan nikmat Islam sejaka azali. Namun nikmat itu juga sebenarnya adalah amanah daripada Allah.

Dalam khusyuk membaca buku ini, saya juga jadi malu. Sebagai anak jati Sabah, tugasan berdakwah sebenarnya terletak di atas bahu saya. Menyebarluaskan agama Allah kepada orang-orang di Pedalaman Sabah yang belum kenal apa itu Islam.

Allah Ya Allah. Habis ke lembaran terakhir buku One Way Ticket, saya berdoa untuk diri sendiri. Semoga Allah pilih kita semua menjadi hambaNya yang membantu agama Allah. Pilih kita semua yang berbuat kebaikan dengan membawa nama Islam. Memilih kita semua syahid di jalan agama Allah.

Untuk kekal dalam gerak kerja Islam itu atas pilihan Allah. Kadang semangat kita naik. Kekadang kita tersungkur.

Allah pilih hati hati itu.

Semoga Allah pilih kita dan kita semua untuk jadi pembantu agama.

Zainab Norazman
Bangkit selepas membaca buku One Way Ticket.

Cara Menulis Tugasan Di Blog

Teks : Zainab Norazman
Entri #102

Buat kali keduanya saya memasuki semula kelas di dalam ABDR ini. Kali ini bersama Puan Masayu Ahmad dalam Kelas Penulisan Blog. Kelas ini di'hadiri' dengan tujuan mencari lebih banyak ilmu dalam bidang penulisan. Disamping 'memaksa' diri untuk terus belajar menulis.

Untuk mencapai semua itu, setiap entri yang mahu ditulis perlu dirancang dengan terperinci. Sediakan tajuk entri. Senaraikan ia di dalam satu entri agar penulisan kita boleh dipandu dengan mudah. Dan juga memudahkan pembaca blog untuk mengetahui skop penulisan kita seterusnya.

Atas bantuan Puan Masayu, maka tersenerailah 30 tajuk yang bakal dipersembahkan di dalam entri setiap hari.

Label : Asas Jahitan

+ Jenis jahitan asas.

+ Alatan jahitan

+ Tempat belajar jahitan

+ Apa kemahiran yang perlu ada untuk belajar menjahit?

+ Kumpulan sokongan jahitan

+ Jahitan sebagai sumber pendapatan

+ Belajar menjahit sehingga menjadi pakar

+ Langkah demi langkah jahitan

+ Pusat latihan jahitan

+ Tip-tip jahitan

+ Ikon sukses jahitan

+ Usahawan jahitan sukses

* Apa beza kepakaran sulaman dengan jahitan

* Boleh pilih mahir jahitan atau sulaman

* Kumpulan sokongan kerajaan

* Belajar sehingga mahir

Label : Asas Sulaman

+ Jenis sulaman asas

+ Alatan asas sulaman

+ Tempat belajar sulaman

+ Apa kemahiran yang perlu ada untuk belajar asas sulaman

+ Sulaman sebagai sumber pendapatan

+ Sulaman bidang kemahiran penuh seni

+ Langkah demi langkah sulaman

+ Pusat latihan sulaman

+ Ikon suskes sulaman

+ Tip-tip sulaman

+ Usahawan sukses sulaman

Moga-moga anak murid ini terus gagah menyiapkan tugasan yang diberikan. Dan semoga kalian sudi datang lagi ke blog Kak Nab ini

Zainab Norazman
Jom menulis!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...