Monday, August 28, 2017

Donut Untuk Kakak Yang Demam

Teks : Zainab Norazman
Foto : Zainab Norazman
Entri #131

Satu kelegaan saya apabila Kakak Dania diserang demam, dia boleh saja makan seperti biasa dia sihat. Malah macam-macam permintaan yang dibuat mengikut tindakbalas dari dalam perut ke saraf otak. Semalam minta ayah belikan pizza hut. Hari ini minta dibuatkan donut.

Mengikut teori dalam mikrobiologi, kini baru ditemui bahawa perasaan mahu makan macam-macam di kalangan ibu yang mengidam sebenarnya berkaitan dengan bakteria dari dalam perut. Bakteria itu yang hantar macam-macam signal melalui saraf-saraf dan diterima oleh otak.

Sama juga kalau orang demam. Selepas memusnahkan bakteria jahat, bakteria baik itu akan jadi bakteria baru dan buat kerja yang sama. Sebab itu juga, orang baru baik demam akan berasa mahu makan macam-macam. Begitulah alkisahnya.

Hari ini bercuti untuk merawat Kakak Dania pula. Lebih kurang 2 minggu ini dia demam sihat, demam semula. Kali ini agak kuat juga panas badannya.

Lalu, bila Kakak Dania kata mahu makan donat, emak cepat-cepat saja adunkan tepung bersama yis untuk dijadikan donat. Demi cucu, kata emak.

Apabila agak kembang, kami anak beranak pula ambil alih tugas menguli dan membuat gegelung donat. Berebut-rebut tangan halu buat bulat-bulat. Nasiblah kalau ada sebiji dua yang 'mati' yis dia nanti. hehehe

Yang paling cenonet itu adalah airtangan Rayyan.
Dan air tangan Fatehah sudah selamat menjadi
lempeng donat. Dia sudah pun jamu arnab, dora, teddy, butterfly dan haiwan peliharaan yang lain makan berjemaah.

Kalian, kita sama juga seperti proses membuat donat. Tepung itu dibeli dari kedai. Emak mengadun tepung menjadi doh donat. Menanti kembang, entah jadi atau tidak. Apabila sudah kembang, orang lain pula bantu selesaikan proses membuat gegelung donat.

Proses kita melalui setiap hikmah itu pelbagai rupa. Mungkin ujian menimpa kita. Atau ujian menimpa orang lain. Pasti ada saja Allah datangkan bantuan untuk menyelesaikan ujian itu.

Begitu sebaliknya.

Dan begitulah kehidupan.





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...