Saturday, September 2, 2017

Ziarahi Bodu di Kampung Pinawantai

Teks : Zainab Norazman
Foto : Zainab Norazman
Entri #133

Berduyun-duyun turun ke sungai



Perjalanan ke Ranau kali ini tanpa rancangan rapi. Niat awal, suami yang mahu menziarahi Bodu bersendirian (nenek dalam bahasa Dusun) di Kampung Pinawantai.

Namun, memandangkan cuti yang panjang tanpa apa-apa program. Maka merayu juga mahu ikut secara tiba-tiba. Padahal suami mahu bermalam 2 malam di sana. Jadinya terpaksa bermalam sehari saja. Hari Isnin ada majlis qurban akikah di pejabat pula.

Jauh juga perjalanan untuk sampai di Kampung Pinawantai. Jika dari Kota Kinabalu ke Kampung Lohan Ranau memakan masa 2 jam. Kali ini ditambah lagi lebih kurang 1 jam dari Lohan Ke Pinawantai.

Kampung Pinawantai sebenarnya berada di garisan penghujung Ranau, memasuki Kota Marudu. Kata suami, "kalau zaman kanak-kanak dulu, perjalanan dari Lohan ke Pinawantai akan mengambil masa sehingga 3 jam lamanya."

Sesampai di rumah Bodu tadi, deruan air sungai kecil ini memanggil-manggil dengan girangnya. Hajat hati hanya mahu bermain-main air, berlarutan menjadi pesta mandi sungai. Anak-anaklah yang paling seronok.

Kami tidak melepaskan peluang untuk bercerita dengan Bodu. Masa kecil, suami dijaga oleh Bodu sejak usia dua bulan sehingga darjah 6. Selepas itu, suami menyambung persekolahan peringkat menengah di Keningau. Tinggal bersama Abah pula.

Sempat juga suami berjalan-jalan masuk ke kebun tanaman Bodu. Jika masuk lebih dalam lagi, ada sawah padi bukit yang baru disemai. Hajat suami itu, mahu meninjau jika ada hasil tanaman nenek yang boleh dijadikan sumber pendapatan nanti.

Menjelang petang, kami meminta izin untuk bertolak balik ke Lohan. Walaupun niat awal mahu juga bermalam di dalam hutan, berteman bunyi cengkerik. Dan didendangkan dengan deruan irama sungai.

Disebabkan Bodu masih menggunakan tandas dan bilik air 'old school' di dalam sungai, maka kami menukar hasrat di hati kami. Hehehe. Bodu juga tidak sanggup melihat kami turun ke sungai di tengah malam jika mahu melepaskan hajat.
.
.
Saya sebenarnya merindui suasana begini. Keghairahan saya adalah melihat gunung-ganang, deruan sungai dan suasana kampung yang penuh dengan kehijauan.

Saya membesar dengan kehijauan sebuah kampung yang kini sudah kian menjadi bandar.

Berada di tempat begini, hati semakin memuji kebesaran Tuhan Yang Menciptakan. Jadi kesempatan yang sedikit ini, saya menumpang untuk melepaskan kerinduan.

Entah hutang kesempatan apa lagi yang kita mampu langsaikan. Semoga Tuhan masih sayangkan kita semua untuk melangsaikan hutang yang telah kita cipta. Hutang wang ringgit terhadap sesama manusia. Hutang budi sahabat kita yang baik. Juga hutang amal dan ibadah kita kepada Allah swt yang masih kita tinggal-tinggalkan.

Semoga saja Allah hantarkan kita bantuan-bantuanNya untuk kita terus dapat memelihara silatulrahim sesama manusia.

Hablum minAllah
Hablum minan Nas
Hablum minal 'alam

Zainab Norazman
Hanya hamba.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...