Teks : Zainab Norazman
Foto : Google
Entri #118
Hari ini, saya seorang sahaja yang bersiap-siap di awal pagi. Bangun subuh tadi, suami kata tak larat mahu ke pejabat pagi ini. "Anak-anak pun tak sihat, ibu seorang saja ya pergi kerja. Nanti abang bawa anak-anak pergi klinik dan dapatkan cuti sakit untuk anak-anak. Ibu tolong maklumkan guru kelas mereka ya." Serta-merta saya pegang kepala suami. Kepala panas dan suara sudah berubah garau.
"Mahu ayang cuti hari ini?"
"Eh tidak mengapa. Ayang pergi kerjalah. Abang boleh jaga diri dan anak-anak"
Allahurobbi. Saya masih dalam dilema. Memandangkan semalam sudah bercuti, maka gagah juga berangkat ke tempat kerja. Hanya sempat masakkan bubur nasi sebagai sarapan mereka.
Jam 9 pagi tadi, suami hantarkan pesanan di kotak whatsapp. "Ibu, ayah dan anak-anak baru sampai rumah ni. Sudah dari klinik tadi. InshaAllah, nanti abang bagi anak-anak makan ubat dan kami tidur dan berehat".
Ada kelegaan seketika di dalam hati ini.
Hati mana yang akan tenang apabila anak-anak semua demam batuk di rumah. Menyiapkan kerja di pejabat pun asyik mahu cepat saya. Nampaknya hari ini perlu cepat-cepat sampai di rumah.
Semoga sahaja suami dan anak-anak bertambah sihat seperti selalu.
Dalam situasi begini, selalu saja hati seorang ibu berdoa, "Ya Allah, hilangkan kesakitan pada anak-anak, beri saja sakit itu kepada diri ini". Begitu monolog di dalam hati.
Apalagi bagi seorang ibu yang perlu keluar bekerja untuk membantu ekonomi rumahtangga. Ada masa-masanya, kita perlu berkorban antara dua perkara.
Namun, kita tetap akur dengan ketentuan Allah. Allah pasti akan izinkan hari dan waktu yang tepat untuk itu.
Kata-kata ini memujuk hati.
No comments:
Post a Comment