Wednesday, August 9, 2017

Mendidik Hati Dalam Mendidik Anak

Teks : Zainab Norazman
Entri #104

Ada suatu hari itu, aku berasa teramat marah pada Kakak Dania. Balik saja daripada sekolah, tanpa membuka pakaian sekolah, terus saja dia mengambil buih sabun yang sudah diadun malam sebelumnya. Mengambil penyedut minuman dan bermain belon sabun di ruang tamu.

Kakak Dania tiup dan buih biuh belon berterbangan. Rayyan dan Fatehah riang cuba menangkap dan memecahkan buih buih belon.

Dalam penat balik dari kerja, perkara begitu betul-betul mengundang perasaan hilang sabar. Sudah awal awal aku berpesan, balik sekolah kita rehat-rehat sebentar. Bersihkan badan. Siap-siap untuk solat maghrib. Ya, sampai rumah saja sudah jam 5.30 petang. Ada masa sejam saja sebelum waktu maghrib.

Sempat juga membebel sebentar. Hampir-hampir rambut mak singa berdiri tegak dan mengeluarkan api amarah.

Sesungguhnya kalimah Allah itu penuh dengan mukjizatnya. Cepat cepat istighfar panjang. Tarik nafas hembus nafas. Sebelum keluar pejabat tadi sudah cakap pada diri. Tiada marah-marah. Yang ada hanya senyum senyum saja pada anak. Teringat lagi ayat ini, "anak anak tidak selamanya kecil, peluk dan belai mereka dengan penuh kasih dan sayang."

Ya itu betul betul ayat pendamai jiwa. Rasa kembali tenang dan damai. Melihat mereka ketawa, bersorak riang, melompat dan menangkap buih buih sabun, hilang segala penat lelah bekerja sehari. Musnah semua amarah yang hampir meracuni diri. Bagai buih-buih yang berterbangan itu, dengan lemah lembut terbang mengikut irama angin petang yang damai.

Damai itu membawa aku mengenang zaman kecilku di Kampung Gudon Menggatal. Saban petang, berlari balik dari Kelas Kafa. Baling saja bahai plastik (bakul plastik pasar) yang berisi buku latihan dan pensil di tepi pintu rumah. Baling tudung. Dan terus berlari mendaki bukit untuk sampai ke kawasan lapang tempat kami bermain. Bermain engkek-engkek (ting-ting), atau bermain galah. Ya, habis comot baju putih kain hijau itu dengan tanah dan lumpur.

Hari ini, kadang panjang memikirkan proses anak-anak yang sedang membesar ini. Kita dahulu mak bapa biar saja bermain pusing satu kampung, sehari suntuk, tanpa perlu risau pun. Apabila kita jadi emak bapa hari ini, balik runah dan biar anak terkurung dalam pagar besi yang sentiasa tertutup. Mungkin ada sesetengah kawasan perumahan yang masih selamat untuk biarkan anak bermain dengan anak jiran sebelah rumah. Tidak bagi perumahan di kawasan bandar besar.

Sebagai mak ayah, kitalah yang perlu memainkan peranan dalam mencari satu aktiviti yang membantu anak anak menggunakan daya fikir dan perkembangan mental dan emosi anak. Agar dunia mereka boleh diterokai dengan seronok sejajar dengan zamannya.

Mungkin mereka tidak lagi bermain lumpur dan mencari buah masuk hutan. Tidak merasa terjun sungai dan balik rumah kena sebat dengan gayung mandi.

Namun bukan itu alasannya kita mahu memberi lesen kepada anak untuk 'teroka dunia tanpa sempadan' hari ini.

Sabda Rasulullah SAW:  "Ajarilah anak-anakmu sesuai dengan zamannya, kerana mereka hidup di zaman mereka bukan pada zamanmu. Sesungguhnya mereka diciptakan untuk zamannya, sedangkan kalian diciptakan untuk zaman kalian".

Pasakkan anak-anak dengan ilmu agama. Tarbiyah anak dengan ilmu akhirat. Fahamkan anak dengan Al Quran dan Hadis. Hanya dengan berpegang dengan agama, anak-anak akan selamat di dalam dunianya.

Zainab Norazman
Ibu yang berharap mampu tumpahkan kasih sayang itu kerana Allah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...