Sunday, August 20, 2017

Masakan Air Tangan Ibu Sebagai Pengerat Kasih

Teks : Zainab Norazman
Foto : Zainab Norazman
Entri #123

Apabila perancangan pada hari itu kita tulis dengan teliti, secara tidak langsung pasti Allah bantu kita melaksanakan tugasan itu dengan teratur.

Cuti dua hari ini yang pastinya akan saya manfaatkan sungguh-sungguh untuk menjadikan ia masa yang berkualiti untuk anak-anak dan suami.

Waktu seminggu Isnin hingga Jumaat hanya menu ala kadar yang menjadi santapan makan malam. Mana tidaknya, berkejar balik kerja dan uruskan anak-anak pula waktu malam. Justeru, menu ringkas suri bekerja saja yang disediakan.

Maka waktu begini, kita raih sungguh-sungguh. Menyediakan menu kegemaran suami dan anak-anak pasti menjadi satu agenda dalam perancangan di hujung minggu. Bermula sarapan sehingga ke makan malam, semua dengan air tangan ibu. Walaupun kadangkala suami mengajak untuk makan-makan di luar.

Hari ahad begini, kami rancang untuk berehat di rumah. Bermula malam sabtu, tilam dan bantal sudah bersusun di ruang tamu. Hehehe. Ini sebenarnya kesukaan anak-anak. Walaupun di hujung minggu adalah masa untuk pembersihan menyeluruh, namun sesekali kami suka juga melepak dan tidur di ruang tamu. Maka segala bantal akan bersepah di ruang tamu. Petang ahad kami akan kemas dan kembali tidur di dalam bilik masing-masing.

Hari ini, awal sungguh siapkan makan tengahari. Alang-alang sudah berperang di dapur, terus siapkan segalanya. Rayyan paling gembira bila tengok ibu bakar ikan dan bagitahu nanti ibu letak sambal di atasnya. Itu kesukaan Rayyan. Boleh habis seekor ikan untuk dia seorang.

Sayur pucuk ubi masak lemak pula di letakkan di mangkuk khas untuk dia. Makan nasi sambil hirup kuah sayur tadi.

Bergembiralah hati ibu ini tatkala melihat anak-anak berselera makan ramai-ramai. Kakak Dania yang anti sayur, makan juga sesuap sayur dipaksa Rayyan.

Alhamdulillah ala kulli nikmat. Kegembiraan anak-anak itu sebenarnya terapi buat saya. Penat lelah semua hilang bila melihat kegirangan mereka. Suatu masa nanti, inilah detik yang bakal rindui.

Semoga Allah swt pelihara mereka dan sentiasa dalam kasih sayang Allah.

Menu hari ini. Ikan ketambak bakar, tuangkan sambal tumis. Terung bakar dan juga pucuk ubi masak lemak. Bertambah-tambah suami dan dan anak-anak makan. Alhamdulillah.


Zainab Norazman
Ibu kalian, anak.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...