Friday, August 11, 2017

Cita-cita Surirumah Adalah Cinta

Teks & Foto : Zainab Norazman
Entri #107


Usai solat maghrib berjemaah bersama anak-anak. Kebiasaannya kami akan membaca Al Quran sambil saya akan tasmik hafazan anak-anak. Namun hari itu sesi mengaji Al Quran sekejap sahaja. Nampak anak-anak agak letih dan banyak bermalas-malasan. Sebagai ibu yang penyayang (aisemen), saya memberi mereka ruang untuk bermain malam itu.


Fatehah si bongsu sudah mula mengajak ibu untuk jadi Bam Bam Gajah Hebat seperti dalam watak Didi & Friends.


Rayyan mulakan cerita. "Ibu, pagi tadi kami belajar tentang cita-cita. Rayyan mahu jadi polis dan bomba"


"Eh. Mana boleh buat dua kerja". saya mencelah.


Kakak pula menyampuk, "Bukan bah ibu. Rayyan tu polis tapi kerja part time bomba".


"Boleh pula macam tu ya?" Saya buat-buat berkerut muka.


Rayyan cepat-cepat menegaskan semula, "Bolehlah bah ibu. Macam ibu tu. Pagi pergi kerja pejabat. Malam ibu dalam bilik jahit saja." Gulp. Sempat saya menelan air liur.


Rayyan menyoal saya, "Ibu pula, apa cita-cita ibu?"


"Hmmm. Ibu ni sebenarnya mahu jadi surirumah saja. Pagi-pagi boleh siapkan sarapan sebelum ayah dan korang semua keluar pergi sekolah. Lepas tu ibu boleh kerja-kerja menjahit dan menyulam dari rumah. Petang sebelum ambil anak-anak ibu balik sekolah, makan malam semua sudah tersedia. Jadi malam ibu boleh manja-manja dengan ayah dan korang semua la. Ibu tidak tekanan. Ibu tidak marah-marah sebab penat."


"Hiissh ibu ni. Itu bukan cita-cita. Itu kan kerja wajib di rumah"
.
.
.
.
.
Duhai anak. Jikalah kalian tahu walaupun ia bukan cita-cita, namun itu adalah cinta ibu.


Menjadi azam dan harapan setiap ibu itu agar mereka boleh korban semua masa dan tenaga mereka untuk suani dan anak-anak. Menjadi impian seorang ibu itu agar pengurusan rumah tangga itu sempurna. Menjadi impian ibu ini agar menjadi suri di rumah yang boleh menjadi superwomen hanya untuk suami dan anak-anak di rumah sahaja.


Rumah itu adalah syurga bagi ibu.


Begitulah impian di hati.
.
.
.
.
.
"Ibuuu. Ibuu. Fatehah boleh mahu jadi arnab yang comel. Ehh tak lah. Rama-rama yang cantik. Boleh ibu?"


Zainab Norazman
Traveog Hati Seorang Suri


Tiga cinta hati ibu.







No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...