Tuesday, August 15, 2017

Belajar Dari Sekolah Yang Bernama Pengalaman

Teks : Zainab Norazman
Foto : Zainab Norazman
Entri #112

Gambar hiasan : Mungkinkah Fatehah mahu mengutip pengalaman ibu?


"Jangan takut jatuh, karena yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh. Jangan takut gagal, karena yang tidak pernah gagal hanyalah orang yang tidak pernah melangkah. Jangan takut salah, karena dengan kesalahan yang pertama kita dapat menambah pengetahuan unutk mencari jalan yang benar pada langkah kedua".

Kata-kata keramat Buya Hamka menyerikan pagi hari. Hari ini saya bercuti untk fokus kepada penulisan. Terasa semakin seronok pula mahu menulis di dalam blog ini.

Duduk bersendirian di dalam perpustakaan ini, membuka banyak memori zaman kecil saya. Saya yang suka bersendiri, juga suka berdikari. Berbanding kawan-kawan yang lain.

Sejak di bangku sekolah rendah lagi, saya suka bekerja di waktu cuti sekolah. Mungkin disebabkan kesusahan emak dan bapa waktu itu, saya seboleh mungkin akan menggunakan waktu cuti sekolah panjang dengan mencari wang poket untuk beli baju dan kasut sekolah.

Seingat saya, saya mula bekerja sewaktu cuti sekolah darjah 5. Awalnya, saya membantu Makcik Mas di kedai jahitnya. Membantu kerja-kerja yang ringan seperti seterika baju siap, jahit sembat hujung lengan baju kurung. Lama kelamaan, saya diberikan kepercayaan untuk menjahit tepi baju. Pun begitu, ada juga tepi baju yang saya terlebih potong. Marah juga Makcik Mas. Namun itu semua pengalaman.

Cuti sekolah mahu naik ke tingkatan 1 pula, saya mula membantu Babu Siah pula. Waktu itu, Makcik Mas sudahpun berhijrah ke Kuala Lumpur. Babu ialah panggilan makcik di Sabah. Maka bermulalah episod saya bekerja di kedai jahit Babu Siah pula. Tugasan di sini lebih kurang sama semasa membantu Makcik Mas dulu. Lebih kurang sebulan cuti sekolah hujung tahun, maka cukup juga duit saya membeli kasut sekolah dan kain baju sekolah. Upah menjahit baju sekolah ditaja oleh Babu Siah. Hehehe.

Menginjak ke sekolah menengah, saya memilih untuk memasuki kelas Kemahiran Hidup dalam Ekonomi Rumah Tangga. Di sinilah saya mula belajar asas jahitan dengan lebih terperinci. Pengalaman bermain dengan benang dan jarum zaman sekolah rendah memudahkan saya untuk menerokai bidang ini dengan lebih dalam.

Kemuncak keyakinan saya bermain dengan mesin jahit pula bermula semasa cuti sekolah tingkatan 4. Masa itu saya mahu mengumpul duit poket untuk membayar yuran tingkatan 5 dan yuran SPM nanti. Maka cuti sekolah itu saya mencuba-cuba mengikut jiran sebelah rumah untuk bekerja. Ya, masih di bawah umur, namun taukeh cina itu menerima saya untuk menjahit langsir di kilang. Butik langsir majikan saya ini terletak di Damai Luyang. Saya dan jiran saya pula bekerja di kilang di Inanam, tidak jauh dari rumah kami. Hanya perlu menaiki bas dengan tambang 50 sen sahaja waktu itu.

Secara asasnya, saya hanya boleh menjahit lurus sahaja. Namun minggu pertama bekerja, taukeh cina itu terus sahaja berikan saya langsir yang telah dipotong untuk disiapkan. Terkebil-kebil saya memandang mesin jahit industri di hadapan saya dan 5 keping kain langsir untuk dijahit.

Lagi sekali saya belajar menjahit cara 'brutal'. Tunjuk sekali, dan kau jahitlah sampai siap. Mahu menangis pun tidak berguna. Siapa suruh pergi kerja dengan cina. Hehehe.

Sebulan saya bekerja di kilang menjahit langsir itu, macam-macam pengalaman yang saya belajar. Belajar tentang jenis-jenis penyangkut langsir. Belajar jahit bantal bentuk tulang untuk letakkan kepala di kerusi kereta. Pernah sekali saya diminta menjahit tilam PVC sebesar saiz tilam single. Masukkan pula fiber ke dalam tilam, dan jahit penutup dengan jahitan tangan. Waktu itu pun saya menangis tidak berlagu juga.

Namun, pengalaman ini sangat seronok bagi saya. Belajar bekerja di bawah majikan cina sebenarnya banyak mendidik saya untuk berjiwa kental dalam apa jua situasi. Mereka memulakan perniagaan tanpa ilmu juga. Kegigihan mereka menjadikan mereka pakar dalam bidang yang mereka ceburi. Mereka juga berani menanggung risiko mengambil saya dengan bekal yang ciput. Tapi lantaran kepercayaan yang mereka berikan kepada saya, alhamdulillah saya mampu siapkan langsir dengan sekali ajar.

Paling bahagia apabila saya berjaya mengumpulkan duit gaji sebanyak RM600 dengan tambahan RM100 sebagai wang belanja sekolah oleh tauke cina itu.

Zainab Norazman
Pengalaman itu membawa aku ke sini.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...