Thursday, June 15, 2017

Merindui Ramadhan Yang Bakal Ditinggalkan

Teks : Zainab Norazman
Foto : Ihsan Google

Entri #86


Hari ini sudah memasuki fasa 10 terakhir Ramadhan 1438H. Yang pastinya, hati semakin hari menjadi sayu mengenangkan Ramadhan ini bakal meninggallan kita lagi.

Mengambil catatan ini sebagai muhasabah kepada diri yang masih jahil mengejar kepentingan dunia.
.
.
Kehidupan di dunia ini adalah satu perjalanan menuju ke alam akhirat. Umpama seorang musafir di tengah padang pasir gersang menuju ke destinasinya, tiba2 bertemu dengan satu kebun yang begitu subur. Penuh dengan mata air, buah-buahan, sayur-sayuran dan segala macam keperluan yang diperlukan oleh seorang musafir untuk meneruskan perjalanannya.

Kebun ini mempunyai dua pintu; satu di hadapan dan satu di belakang. Di depan pintu masuk, pemiliknya berdiri sambil mengalu-alukan si musafir:

" Silalah masuk... ambillah apa yang kamu nak ambil untuk keperluan kamu. Ini pintu masuk dan di hujung sana pintu keluar ".

Begitulah perumpamaan bulan ramadhan yang mulia ini. Ramadhan ialah kebun pahala kepada manusia yang sedang bermusafir ke alam akhirat yang kekal abadi. Pemilik ramadhan ialah Allah yang mengalu-alukan hamba-hambanya yang beriman untuk merebut kelebihan pahala di bulan yang mulia ini.

Kita sekarang berada 10 hari terakhir daripada bulan Ramadan. Ianya adalah kemuncak kepada umat Islam untuk meningkatkan amal ibadah mereka kepada Allah. Terdapat padanya satu malam jika dilaksanakan ibadah, maka pahalanya sama dengan seribu bulan atau 83 tahun.

Kadang-kadang kita umat hari ini merasa irihati dengan umat-umat zaman dahulu kerana mereka dikurniakan oleh Allah dengan umur yang panjang. Bagi kita umat ini, umurnya sekitar 60 tahun sahaja, bahkan di zaman ini berapa ramai yang mati seawal usia remaja dan muda kerana penyakit, kemalangan dan bencana alam.

Umat zaman dahulu umur mereka panjang, contohnya umat Nabi Nuh a.s yang dikurniakan umur ratusan bahkan ribuan tahun. Kita berfikir alangkah beruntungnya mereka kerana mempunyai masa yang panjang untuk melakukan ibadah kepada Allah.

Akan tetapi Allah itu Maha Adil khususnya kepada umat Nabi Muhammad SAW yang menjadi semulia-mulia umat yang dikeluarkan kepada manusia. Allah mengurniakan kepada umat ini masa-masa, hari-hari, bulan-bulan dan malam yang dilipat kali gandakan pahalanya di sisi Allah. Sudah tentulah kemuncaknya ialah Malam Qadar yang disebut kelebihannya oleh Allah khusus di dalam surah al-Qadr.

Pada 10 malam yang terakhir ini Rasulullah SAW adalah contoh dan teladan yang terbaik. Baginda adalah manusia yang paling banyak mendekatkan diri kepada Allah pada malam-malam ini walaupun Baginda adalah Nabi yang ma'sum dari segala dosa.

Bermujahadah mencari Malam Qadar bukan bersungguh-sungguh mencari tanda-tanda pelik yang berlaku pada malamnya seperti pokok kelapa tunduk ke bumi sebagaimana difahami oleh segelintir masyarakat. Hanya mencari tanda-tandanya, tetapi tidak menghidupkannya dengan amal ibadah, maka tidak ada guna. Maksud mencarinya ialah dengan dihidupkan amal-ibadah kepada Allah, barulah memperoleh fadhilatnya.

Saya tertarik dengan pesanan Imam Masjid Al-Haram, Syeikh Mahir al-Mu'aiqili kepada umat Islam. Kata beliau, umat Islam paling kurang mestilah melakukan tiga perkara pada setiap malam 10 yang terakhir ini.

Pertama; solat sunat dua rakaat, kerana jika bertepatan dengan Malam Qadar, maka pahalanya sama seperti solat 83 tahun.

Kedua; menderma satu Riyal/ringgit, kerana jika bertepatan dengan Malam Qadar, maka pahalanya sama seperti menderma 83 tahun.

Dan yang ketiganya ialah membaca surah al-Ikhlas sebanyak tiga kali, pahala membacanya sekali sama seperti membaca satu pertiga Al-Quran, kalau dibaca tiga kali, maka pahalanya sama seperti membaca seluruh Al-Quran.

Ayuh anak muda sekalian kita sama-sama bermujahadah mencari Malam yang mulia untuk memperolehi fadhilatnya yang sangat besar ini.

'Pintu' keluar ramadhan sudah hampir dengan kita. Rebutlah peluang beribadah untuk mengumpulkan pahala sebanyak mungkin. Jadikanlah bulan ramadhan pada kali ini ramadhan terakhir yang akan meninggalkan kita selama-lamanya, kerana kita tidak mengetahui adakah kita sempat dengan ramadhan pada tahun akan datang ataupun tidak.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia 2017/19
20 Ramadhan 1438 / 15 Jun 2017
.
.
Semoga kita tergolong di dalam golongan yang Allah pilih untuk mendapat malam Lailatul Qadar.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...