Monday, April 2, 2018

Ustaz Abdul Somad Di Sabah

Teks : Zainab Norazman
Foto : Ihsan Google
Entri #139


Ustaz Abdul Somad merupakan seorang pendakwah dan ulama yang berasal dari Riau Indonesia. Menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Terkenal dengan beberapa siri kuliah agama khususnya dalam bidang hadis dan ilmu fekah. Juga suka membahas tentang isu nasionalisme yang terkini.

Pada hemat saya, Ustaz Abdul Somad begitu mendapat tempat di hati seluruh rakyat marhaen lantaran cara kupasan yang cantik, bicara yang sentap, namun terselit sedikit gurauan ‘pedas’. Ia sentap, namun sampai di hati.

Kajian-kajiannya yang tajam dan menarik menyebabkan seluruh lapisan masyarakat suka akan tausiahnya. Ulasan yang cerdas dan tangkas, ditambah lagi bijak dalam merungkai kosa kata yang menjadi sebuah retorika dakwah, membuatkan ceramah Ustad Abdul Somad begitu mudah dicerna dan mudah difahami oleh rakyat marhaen.

Ustad Abdul Somad juga ada menulis beberapa buku yang menjadi ‘best seller’ di kalangan peminat buku-buku agama. Antara karya beliau ialah 37 Masalah Populer, 99 Pertanyaan Seputar Sholat dan 33 Tanya Jawab Seputar Qurban.

Bermula hari ini, gelombang Ustaz Abdul Somad sedang berdengung di bumi Sabah. Sekian lama rakyat Sabah menanti kehadiran ustaz, akhirnya tercapai hajat peminat ustaz.

Kepada yang mengejar lokasi Ustaz Abdul Somad, lepas maghrib ini boleh cepat-cepat ke Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Likas. Ceramah akan bermula jam 8.30 malam hingga 10.30 malam. Moleklah datang bermula mahgrib dan niatkan iktikaf sambil mengaji ilmu.

Esok 03 April pula :

Kuliah Subuh jam 5.00 pagi hingga 9.00 pagi di Masjid As-Sobirin, Sipanggil, Putatan.

Ceramah Umum jam 9.30 pagi hingga 12.00 tengahari di Dewan Saadah Wisma Muis.

Tazkirah Zohor jam 1.00 hingga 2.00 tengahari di Masjid Negeri Kota Kinabalu.

Ceramah Umum jam 8.00 hingga 10.00 malam di Masjid Cahaya Iman, Membakut.

Mari sama-sama kita mengimarahkan majlis ilmu. Semoga subur bumi Sabah dengan syiar Islam.

Nabi SAW bersabda, ''Apabila kalian berjalan melewati taman-taman Surga, perbanyaklah berzikir.''

Para sahabat bertanya, ''Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksud taman-taman surga itu?''

Nabi menjawab, ''Yaitu halaqah-halaqah zikir (majelis ilmu).''

Zainab Norazman
(Bukan) Ustajah Menulis Saja.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...