Tuesday, July 3, 2018

LIRIK LAGU JANGAN MENANGIS HABIBAH

Teks : Zainab Norazman
Entri #141

Memandu sendirian di kala pagi hening, selalu saja merusik hati dan perasaan. Kadang tu, berkhayal jauh memikirkan masa depan dan masa lalu.

Selain dalam qiam, momen beginilah boleh kita ambil peluang untuk bercakap-cakap dengan diri sendiri. Berbisik-bisik pada Allah. Sambil muhasabah salah silap yang terlanjur dengan emak, suami dan anak-anak. Terlebih-lebih gurau dengan kawan.

Masa itulah airmata akan mengalir lagi. Hahaha. Dalam hati kata, nangislah. Dengan harapan kereta sebelah tak nampak kot.

Pagi kemarin, sambil memandu dan mendengar siaran dari ikim.fm, terlintas pula lagu kesukaan yang selalu membuatkan hati siapa saja boleh tersentuh.

Jangan Menangis Habibah dendangan Aris Ariwatan, sebuah lagu yang ditulis oleh beliau khusus untuk kakaknya yang masa itu sedang bertarung menahan kesakitan akibat kanser yang kian merebak. Lirik lagu ini ditulis untuk memberikan inspirasi dan kekuatan buat kakaknya agar dapat melawan kesakitan itu.

Tatkala melihatkan kakaknya semakin terinspirasi dan kian pulih, Aris Ariwatan menghadiahkan pula lagu ini buat seluruh insan yang bergelar wanita di luar sana.

Agar jika ada yang sedang sakit, kita ambil semangat itu.

Jika ada yang berduka, jadikan ia sebagai sumber merawat duka.

Begini bunyi liriknya.

Kemari sini Habibah,
Lepaskan gundah gulana,
Izinkanku mendengar,
Resah jangan terus dibiar.

Jangan menangis Habibah,
Penatmu itu ibadah,
Isteri yang taat setia,
Syahidlah ganjarannya.

Teladanilah wahai wanita,
Betapa tabah Siti Khadijah,
Luhurnya hebatnya Fatimah.

Teladanilah wahai wanita,
Selautan ilmu Siti Aisyah,
Kudusnya taqwanya Rabiatul Adawiyah.

Solat lima waktu,
Puasa di Ramadan,
Taati suamimu,
Maruah dipertahan.

Sabdanya pilihlah,
Syurga mana,
Pintu mana,
Yang kau suka.

Pada hemah saya sebagai seorang wanita, “Jangan Menangis Habibah” adalah lagi untuk kita.

Kita wanita. Kita sang kekasih. Seorang isteri. Seorang ibu.

Kesakitan itu bukan untuk sakit fizikal semata. Boleh jadi untuk apa saja rasa yang kita lalui sehari-hari. Penat dan lelah yang terasa, aduh tidak tertanggung oleh tubuh kecil ini.

Penat dengan kerja di pejabat, kerja di rumah.
Penat menguruskan hal rumahtangga yang kadang teruji dengan perasaan dan tergigit lidah.
Penat memikir cara terbaik agar bisa mencurahkan dan menyalurkan kasih dan sayang buat anak-anak dengan tarbiah yang terbaik.
Penat menahan rasa pedih hati dek berlakunya kepincangan dan kecelaruan akhlak remaja hari ini.
Penat membaca serba-serbi cerita di media sosial.

Dan jadi netizen yang tidak mahu memikir pun penat juga. Penat sebab tidak memikir. Penat sebab asyik menuding jari semata.

Baik, kita kembali ke perbincangan asal. Hehe.

Duhai wanita, jangan menangis lagi. Setiap penat itu Allah jadikan ia sebagai hadiah ibadah. Allah jadikan wanita itu istimewa dengan satu kekuatan luar biasa yang ada dalam jiwa mereka.

Hidup ini perlu dijalani.

Lirik lagu ini juga mengajak setiap suri itu menghayati kisah dan perjuangan wanita di zaman Rasulullah SAW.

Perjuangan Sayyidatina Siti Khodijah, Siti Aishah, Fatimah Az Zahra, dan taqwanya Rabiatul Adawiyah.

Kerana setiap penat itu ibadah.

Jalani hidup ini dengan tenangnya. Jaga solat. Pelihara puasa. Taat kepada suami. Tambah amal-amal sedekah. Dan jaga maruah dan aurat kita. Jaga aib ayah ibu dan suami.

Lalu Rasulullah SAW bersabda, kau pilihlah pintu syurga mana yang kau suka. Pilihlah puntu syurga mana yang kau mahu masuk.

Pilihlah pintu syurga mana.

Zainab Norazman
Wanita yang mencemburui wanita syurga.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...