Thursday, November 24, 2016

Macaroni Buah Hati


Entri #4
Teks : Zainab Norazman
Foto : Google

Bismillah.

Bukan cerita Nasi Minyak Kuah Cinta. Tapi ia kisah Macaroni Buah Hati. Macaroni Buah Hati, kakak Dania.

Macaroni Buah Hati - gambar ihsan googlee. Lupa mahu mengambil gambar.

Sesi persekolahan sudah sampai ke penghujung. Lagi dua hari bersekolah. Nampaknya kakak semakin bersemangat ke sekolah. Semangat 'bermain' dengan rakan sekelas. Katanya, nanti cuti lama pasti rindu.

Tahun 1 Ibnu Sina, Pusat Pendidikan Islam An-Nur. Penghujung sesi persekolahan begini, semua urusan sekolah yang melibatkan anak-anak sudah selesai. Peperiksaan sudah. Majlis Ihtifal Sudah. Pulangkan buku teks, juga sudah. Anak-anak sebenarnya hanya ke sekolah untuk mengisi masa mengikut takwin sekolah. Sebenarnya, boleh juga mula cuti sendiri. Tapi nampaknya, anak-anak 1 Ibnu Sina termasuk kakak, semakin ligat dan semangat mahu 'berukhuwah' dengan kawan-kawan. 

Demi mengisi masa anak-anak di sekolah, dan merai anak-anak, guru kelas dan ibu bapa berpakat untuk membuat sedikit jamuan akhir tahun. Buat secara 'potluck'. Berbahagi itu lebih baik. Sama-sama mempermudahkan kerja ibu bapa yang lain.

Kakak membuat permintaan ayam goreng ayah kegemaran kakak. Tapi memandangkan ayah dan ibu tidak dapat mengambil cuti rehat untuk membuat persiapan ayam goreng, saya mencadangkan macaroni buah. Juga kegemaran kakak. Alhamdulillah, kakak setuju.

Dengan riangnya, pagi ini kakak membawa satu bekas besar, Macaroni Buah Hati. Kakak, si buah hati ibu.

Di sini, saya cuba kongsikan resepi Macaroni Buah Hati yang tidak seberapa. 

Bahan-bahan :
 - Macaroni. Saya gunakan macaroni Kimball dan juga Spiral Kimball. Gabungkan dengan spiral untuk hasil yang cantik.


 - Mayonis Buah
 - Buah epal merah dan epal hijau
 - Kismis. Saya suka gunakan kismis hitam. Kismis doa. Atau bolehlah tiup-tiup sikit doa semasa menggaul.
 - Nata de coco
 - Susu segar atau krimer sejat.
 - Sedikit garam.
 - Sedikit serbuk lada hitam untuk membangkitkan rasa.

Cara-caranya :
 - Rebus macaroni dalam air mendidih. Masak macaroni sehingga empuk. Bila sudah masak, toskan.
 - Potong dadu si buah epal. Sekiranya mahu warna merah hijau terserlah, biarlah saja tanpa mengopek kulit.
 - Selepas itu, masukkan semua bahan ke dalam satu bekas besar. Gaulkan semua. Kismis. Nata de coco. Susu cair atau susu segar. Mayonis buah. Sedikit lada hitam. Sedikit garam. Gaul sebati.

Alhandulillah. Kakak tersenyum. Semoga kawan-kawan sekelas kakak suka dan gembira menikmati Macaroni Buah Hati, kakak.

Zainab Norazman, boleh panggil kaknab juga.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...