Sunday, November 20, 2016

SALAM PERTEMUAN KEMBALI - Pengenalan Diri

Entri #1
Teks : Zainab Norazman

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Alhamdulillah. Rasa syukur dipanjatkan ke hadrat Allah swt. Hanya dengan izin-Nya sesuatu itu berlaku ke atas hamba-Nya. Sama seperti blog ini. 

Salam pertemuan kembali. Ya blog ini inshaAllah saya azam akan kembali bernyawa. Dahulu memulakan blog ini sewaktu zaman belum cukup ilmu. Entah apa-apa entri dahulu (hehhe). 

Alhamdulillah, kini bertemu dengan Akademi Bekerja Di Rumah. Dengan satu azam dan misi untuk menulis yang lebih bermanfaat.

MashaAllah. TabarakAllah. Muqaddimah meleret pula.

Baiklah. Saya Zainab Binti Norazman. Anak kedua daripada empat orang adik-beradik, dan puteri tunggal dalam adik-beradik. Sabah Negeri Di Bawah Bayu - Kota Kinbalu, tempat saya dilahirkan dan membesar. Tempat kenal tanah dan lumpur. Menangkap belalang. Panjat bukit. Cari biji getah. Saya dilahirkan pada 28 Julai tahun 1985. Mak kata, hari ahad bertepatan azan subuh sedang berkumandang.

Mendapat pendidikan awal di SK Gudon Menggatal bermula darjah 1 hingga darjah 6 (1992 - 1997). Meneruskan persekolahan peringkat menengah di SMK Menggatal Kota Kinabalu sehingga Tingkatan 6 Atas (1998 - 2004). Saat rakan-rakan berkejar memasuki ke universiti, saya pendamkan hasrat dihati lantaran ayah baru meninggal dunia sebelum saya menduduki STPM, tahun 2004.

Perancangan Allah swt lebih cantik, Saya diterima bekerja dengan menggunakan sijil SPM. Bekerja dalam sektor perbankan sebagai kerani bank masa itu mampu memberi nafas lega. Alhamdulillah, boleh membantu abang yang sedang menyambung pelajaran ke peringkat ijazah dan adik menyambung pelajaran ke peringkat diploma. Selang 8 bulan bekerja sebagai kerani, saya mendapat panggilan temuduga lagi. Juga sebagai kerani. Tapi kali ini dalam sektor kerajaan, Mak tersenyum bahagia. Apalagi yang orang tua idamkan, dan menjadi kebanggaan jika anak berjaya memasuki sektor kerajaan. Sekali lagi kesyukuran kerana selepas tempoh pengesahan jawatan, saya boleh meneruskan cita-cita untuk berjuang mendapat segulung ijazah. Awal tahun 2007 sehingga 2011, saya menyambung pelajaran dalam bidang Sarjana Muda Ekonomi Sumber Manusia secara separuh masa di Universiti Malaysia Sabah. Pengajian selama 4 tahun mencipta pelbagai masam manis masin kehidupan.

Ini kerana, penghujung tahun 2007, Allah kurniakan rezeki saya untuk menamatkan zaman anak dara di usia hujung 22 tahun. Melakar kehidupan seorang kerani, pelajar dan isteri,  membahagi masa kepada 3 watak. Tidak lama selepas itu pula, saya disahkan positif hamil anak pertama. Bertambah tugas dan amanah kurniaan Allah swt. Pendeknya, dalam tempoh pengajian 4 tahun, rupanya Allah hadiahkan saya suatu memori indah. Belajar dalam masa yang sama berbahagi masa dan kasih kepada suami dan anak-anak. Empat tahun pengajian, saya mendapat sepasang cahayamata. Ezz Ameera Dania lahir 12 Januari 2009. Ezz Ammar Rayyan lahir pada 23 November 2010. Ezzatul Fatehah pula lahir pada 17 Oktober 2013. Saya tamat pengajian pada November 2011. 

KEBERKATAN REZEKI terletak pada rezeki anak. Siapa sangka. Kelahiran anak, membawa 1000 rezeki daripada Allah swt. Kelahiran seorang anak membawa keberkatan dalam rumahtangga. Pernah tidak kita imbas kembali. Dalam penghijrahan sebuah kehidupan kita secara peribadi. Dulu semasa muda remaja, kita ni huha huha. Selepas berkahwin dan memiliki anak, hidup kita berubah 360 darjah. Saya pernah terdengar dalam satu kuliah, ustaz kata "itulah keberkatan rezeki yang di bawa oleh rezeki anak". Ibu ayah berubah menjadi lebih dekat kepada Allah atas keberkatan seorang anak. Rezeki menjadi lebih murah atas keberkatan seorang anak. Perniagaan bertambah maju atas keberkatan seorang anak.

Secara peribadi, saya mula mencuba-cuba berniaga sejak kelahiran anak pertama. Bermula berniaga online pada awal pengenalan facebook. Menjual pakaian kanak-kanak. Beralih berniaga produk MLM. Mencuba pula membuka premis perniagaan barangan penyusuan dan produk bayi. Mencuba produk pendidikan untuk kanak-kanak. Semua berkaitan dengan kanak-kanak. Semua berkaitan dengan anak.

Ya, saya suka berniaga tentang apa yang saya minat. Berniaga dengan perkara yang saya 'passion'. Agar apa yang kita niagakan sentiasa dekaaaat di hati. Betul bukan?

Dan hari ini. Atas sebab cinta. Asbab suka. Dan minat. Saya mula berjinak-jinak semula dengan bidang jahitan. Saya guna perkataan semula, sebabnya dulu zaman sekolah rendah dan sekolah menengah, cuti sekolah saya, saya suka isi dengan membantu makcik jiran sebelah di kedai jahit. Tolong jahit tepi. Tolong sembat. Tolong jahit tulang belut. Tolong gosok baju yang sudah siap, sebelum dihantar kepada pelanggan. Saya tolong dapat upah hihi. Mungkin minat menjahit itu bermula dari situ. 

Alhamdulillah 'ala kulli hal. Dalam blog ini nanti, saya berhajat untuk berkogsi kepada sahabat yang membaca dan mengikuti blog ini dengan info tentang jahitan, bagaimana mahu melembutkan tangan keras pegang mesin, bagaimana mahu 'bermain' dengan mesin jahit dengan riang. Walaupun saya masih baharu dalam bidang ini, inshaAllah kita boleh timba ilmu bersama. 

Oh ya, berbalik kepada cerita perjalanan pendidikan saya yang tidak seberapa dan kerjaya saya sebagai kerani cuti di sektor kerajaan. Sebenarnya jauh di sudut hati saya hari ini, hati naluri saya sebenarnya berhajat mahu membina kerjaya sendiri di rumah. Kerjaya sebagai seorang ibu yang menjahit di rumah. Sambil membayar masa bersama anak-anak. Oh, betapa sedapnya meluahkan perkataan ini. Sebab ini harapan. 

Harapan. Harapan ini inshaAllah akan diluahkan dalam blog ini, Jurnal Suri Bekerja Di Rumah - Jahitan dan Sulaman. Walau belum bergelar surirumah sepenuh masa, namun saya pasti 'cita-cita' ini akan dimakbulkan Allah swt. 

Zainab Norazman
Besar harapan ibu, nak.
  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...