Thursday, May 4, 2017

Kisah Pakcik Yang Membawa Tong Sampah Hijau

Teks : Zainab Norazman

Entri #72

Tekan butang lif. Ting! Pintu lif terbuka. Pakcik di sebelah masuk sambil menolak tong sampah hijau yang besar. Ya. Ada aroma yang kurang menyenangkan juga.
Selepas itu, saya dan kakak Dania menyusul bersama.
"Assalamualaikum".
Saya tersipu-sipu menjawab salam.
Tatkala pintu lif hampir tertutup, seorang gadis pula menekan butang lif. Berharap agar pintu lif terbuka semula. Masuk dengan tergopoh-gapah.
Saya menekan butang tingkat 5. Pakcik yang membawa tong sampah menekan butang tingkat 3. Gadis itu pula menekan butang lif tingkat 10. Agaknya adik ini mahu ke surau yang berada di tingkat 10. Fikir saya.
Semua berdiam melayan entah apa yang bermain di fikiran ketika itu. Kakak Dania di sebelah saya pula sibuk bersama plastik buku cerita yang baru dibeli sebentar tadi. Bergemerincing bunyi plastik. Tidak sabar mahu buka plastik buku dan baca masa tu juga.
Kakak Dania. Anak sulung yang berusia 8 tahun. Hobinya membaca buku. Betul-betul ulat buku. Sedang berjalan-jalan di pusat membeli belah boleh juga membaca sambil berjalan. Begitulah sikapnya.
Tiba-tiba pakcik itu bersuara. Memecah keheningan di dalam lif.
“Nak, di luar tu hujan lebat. Anak ni drive sendiri kah nanti?”
“Hah?. Ya. Ya pakcik”. Tergagap-gagap menjawab soalan pakcik itu.
“Anak yang satu ni pula?”
“Saya mahu ke surau pakcik”.
“Ohh. Hati-hati nak. Hujan begini jalan licin. Hati-hati bawa kereta. Hati-hati berjalan”.
Kami hanya tersenyum.
Ting. Lif tiba di tingkat 3. Dan kala pintu terbuka, pakcik tersebut sudah pun menolak keluar tong sampah hijau itu.
Sekali lagi, pakcik itu menoleh.
“Assalamualaikum.” Dengan senyuman dan mengangkat tangan kanan. Sebagai tanda meminta diri.
Saya menjawab salam sambil tersenyum. Begitu juga gadis di sebelah saya.
…..
Dalam perjalanan balik ke rumah. Sambil memandu, saya terkenang-kenang peristiwa tadi.
Allah Ya Allah. Kita terlalu sibuk melayan perasaan sendiri. Kita sibuk memikirkan hal diri sendiri. Dunia kita sendiri.
Daripada sudut pandang terhadap pakcik tadi. Tanpa mengira siapa dia bertemu, dengan mudah menyampaikan kebaikan. Dengan murah hati memberikan doa kepada orang lain. Sedekah senyuman.
Hati kita. Beginilah. Memilih manusia untuk disanjung dan dihormati. Ada kekurangan sikit, kita tidak pandang. Walhal, semua sama di sisi Tuhan. Siapa kita untuk menilai seseorang dengan hanya pandangan mata kasar.
Kalaulah Tuhan membuka aib kita. Malunya. Terlalu banyak aib kita. Jika dibandingkan dengan pakcik tadi.
Dalam situasi tadi, rupanya Tuhan Yang Maha Adil telah mengangkat darjat pakcik dengan mengurniakan satu sifat mulia pada pandangan ahli langit.
Terngiang-ngiang kata kata ustaz di radio ikim. Biar kita rendah diri di mata kita sendiri. Sederhana di mata orang. Namun dipandang tinggi pada pandangan Tuhan Sekalia  Alam.
Zainab Norazman
Belajar Dengan Hati

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...